Ibrah Ramadhan

azlitamasammanis
indahnya puasa 6 syawal
puasa Ramadhan pula bukanlah bermaksud enteng
tapi agak lumrah bagi yang biasa berpuasa
dikelilingi pula majoriti orang berpuasa
pasti tidaklah payah untuk berpuasa

puasa 6 syawal lebih thrill sebenarnya
masakan Allah menjanjikan:

“Sesiapa berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada Syawal, maka puasanya itu seperti puasa sepanjang masa.” – (Riwayat Muslim)
Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang berpuasa semata-mata mencari keredhaan Allah SWT., nescaya akan Allah menjauhkannya daripada api neraka sejauh tujuh puluh tahun.” (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

PAHALA SETAHUN PUASA

Pahala puasa Ramadhan yang diamalkan menyamai pahala puasa satu tahun penuh. Ini kerana setiap hasanah (kebaikan) diberi ganjaran 10 kali ganda. Imam Ahmad dan An-Nasa’i, meriwayatkan daripada Tsauban, Rasulullah SAW. bersabda:
“Puasa sebulan di bulan Ramadhan sama seperti ia berpuasa selama 10 bulan dan berpuasa selama 6 hari selepasnya (Syawal) menyamai puasa 2 bulan. Maka yang demikian bererti (kamu) telah berpuasa untuk setahun.” – (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)


thrill yang mudah ialah bilamana secara logiknya kita akan berpuasa dalam kalangan/ dikelilingi orang yang berbuka :)
pasti mencabar bukan?

memang sukar bila kawan-kawan kata
...jom makan
..jom jamuan raya
sedang kita berpuasa...

di meja iftar keluarga ...iman dan surayya bersuara
saya suka kalau setiap hari kita puasa mama!
boleh makan ramai-ramai
dan makan sedap-sedap

malu pulak dengan anak
tika dia bersuara begitu..

lantas saya cover dengan ibrah berikut...
 
 
 manfaat Puasa Enam Syawal :
  1. Sebagai penampal terhadap segala kekurangan amalan puasa di bulan Ramadhan.
  2. Semua amalan mendekatkan diri kepada Allah SWT. pada Ramadhan, tidak akan terputus dengan berlalunya bulan mulia itu, selama dia masih hidup.
  3. Mudah berpuasa selepas Ramadhan menandakan diterimanya puasa Ramadhan kerana melakukan kebaikan kemudian diteruskan dengan kebaikan lain, maka ianya sebagai tanda terkabulnya amal pertama.
  4. Allah SWT menjauhkan orang yang berpuasa enam daripada api neraka dengan jarak tujuh puluh tahun.
  5. Puasa selepas Aidilfitri adalah antara tanda kesyukuran atas nikmat pertolongan dan keampunan yang dianugerahkan Allah ketika Ramadhan.

saya sambung dengan artikel manarik yang saya jumpa di utusan..

RAMADAN baru sahaja meninggalkan kita. Kini Syawal telah menjelma. Kemeriahan Aidilfitri disambut bercampur-baur antara suka dan duka. Pelbagai kejadian menyayat hati yang menimpa umat Islam dalam bulan Ramadan sama ada di dalam negara mahupun di luar negara perlu diambil iktibar. 

Mari kita bermuhasabah diri dengan melihat beberapa aspek kehidupan dan kaitannya dengan Ramadan yang berlalu.

Dalam bulan Ramadan kita melazimkan diri ke masjid untuk solat Isyak dan tarawih berjemaah, begitu juga dengan solat Subuh. Jika pada awal Ramadan, ada masjid yang jemaahnya melimpah, nak cari parkir kereta agak sukar kalau datang lewat. Namun, fasa hujung Ramadan biasanya tidak perlu susah hati untuk mencari parkir walaupun sampai ke masjid ketika azan Isyak berkumandang. 

Agaknya, bagaimana pula setelah Syawal menjelma? Adakah kita hanya menjadi Hamba Allah pada bulan Ramadan ataupun sepanjang masa? Itupun belum mengambil kira tilawah atau tadarus al-Quran. Mampukah kita beristiqamah membaca al-Quran selain bulan Ramadan?

Bagaimana pula dengan tabiat pemakanan? Ramadan mengajar kita mengurus cara pemakanan dengan menentukan dua kali masa makan yang utama iaitu bersahur dan berbuka. Bersahur amat dituntut walaupun dengan segelas air dan sedikit makanan. Bahkan melewatkan bersahur adalah sunnah yang perlu diamalkan untuk memperoleh keberkatan. Bersahur boleh menggantikan sarapan pagi yang amat penting untuk diambil oleh setiap individu. 

Makanan sebagai pembekal tenaga amat diperlukan untuk memulakan hari yang bakal dipenuhi dengan pelbagai aktiviti kehidupan. Oleh itu, bersahur mendidik kita agar bangun awal pagi dan mengambil sarapan pada setiap hari di luar bulan Ramadan.

Berbuka pula dianjurkan agar bersegera dilakukan apabila masuk waktunya. Kita yakin bahawa umat Islam amat punctual atau menepati masa berbuka. Bagi yang berkemampuan mungkin sekali-sekala berbuka di tempat-tempat yang eksklusif dengan pelbagai jenis hidangan pilihan. Bagi yang hanya mampu berbuka di rumah sendiri, kepelbagaian hidangan tetap dapat dinikmati kerana bazar Ramadan di sana-sini menjual pelbagai jenis makanan.
Namun, roh puasa sebenarnya adalah untuk mendidik kita agar mengawal hawa nafsu khususnya makan dan seks. 

Persoalannya, adakah cara pemakanan kita menyihatkan? Mengapa tidak meneruskan waktu pemakanan pada bulan puasa dengan menjadikan sarapan pagi dan makan malam sebagai waktu makan yang utama berbanding makan tengah hari? 

Sebenarnya, jika pekerjaan seseorang tidak memerlukan aktiviti fizikal yang berat, kita tidak perlu mengambil hidangan yang berat pada waktu tengah hari. Tapi ramai yang menjadikan makan tengah hari sebagai waktu makan yang utama dengan hidangan berat setiap hari. Sedangkan, cukup dengan mengambil snek ringan atau buah-buahan untuk melapik perut pada waktu itu.

Lainlah kalau kita membanting tulang seperti golongan petani atau buruh yang menggunakan banyak tenaga untuk bekerja.

Ramadan juga mengajar kita menjaga tutur kata, mengawal pandangan mata, sabar dan simpati, pemurah serta bersederhana dalam kehidupan. Akhlak mulia ini bukanlah hanya diamalkan secara bermusim, tapi perlu diteruskan dalam bulan-bulan yang lain.
Sifat bersederhana (wasatiyyah) sebagai contoh, bukan hanya terbatas pada cara berbelanja yang ditampilkan melalui penampilan diri, tetapi kesederhanaan yang mencakupi seluruh aspek kehidupan (lifestyle).

Panduan sunnah menuntut agar umat Islam meletakkan sesuatu sesuai dengan tempatnya dalam apa sahaja yang kita lakukan. 

Dalam konteks pemakanan sebagai contoh, makanlah secara bersederhana kerana ia boleh menjaga kesihatan diri dan mengelakkan masalah obesiti dan pelbagai penyakit yang semakin banyak melanda rakyat Malaysia mutakhir ini.

Bagi perokok pula, Ramadan mendidik mereka untuk mengurangkan tabiat negatif ini. Kalau di luar bulan Ramadan ada perokok tegar yang melakukan 'upacara membakar diri' sebanyak dua puluh kali sehari, namun 'upacara' tersebut berkurangan kepada empat atau lima kali sahaja jika mereka berpuasa. 

Bayangkan jika sekotak rokok harganya RM10, ini bermakna perokok yang merokok sekotak sehari telah menghabiskan RM300 sebulan dan RM3,600 setahun. Kalau duit tersebut dikumpulkan untuk tempoh tiga tahun (RM10,800), sudah cukup untuk perbelanjaan minimum bersubsidi bagi menunaikan haji. 

Oleh itu, kepada perokok sekalian tinggalkanlah tabiat negatif ini ataupun kurangkanlah secara beransur-ansur dengan harapan selepas Ramadan anda telah menjadi manusia baru yang lebih baik.

Sebenarnya banyak lagi aspek yang boleh disentuh tentang tarbiah Ramadan untuk umat Islam. Namun, isu-isu yang disebut di atas adalah sebahagian isu biasa yang amat relevan dengan kehidupan kita. 

Marilah kita mengambil kesempatan pada bulan Syawal yang mulia ini untuk mendoakan kesejahteraan umat Islam di seluruh pelosok dunia. Semoga Allah merahmati kita semua.

PENULIS :Mohamad Rizal Mn ialah pensyarah Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar, Perak

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Sirap sedap terbongkar!

Rumahku wangi..syurgaku..