Hadiah Allah secara Pukal!

 
illustrasi emilatopia

sujud kepada Allah
syukur kepadaNya
selawat dan salam pada baginda SAW

sungguh!
kekuatan mukmin ialah doa
kadang terdetik..
aku minta 1...2...3...4
memberikah Dia!?

kita adalah hamba
hamba yang lemah
Dia Maha pengasih, Maha Penyayang
Maha segalanya
mohonlah padaNya
nescaya Dia kurniakan
Bersangka baiklah denganNya
jangan berputus harap..

"Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu."Surah Ghaafir ayat 60

kala suka duka
Dialah tempah curahan doa
saya terkumat kamit berdoa setiap kali
kadang iblis membisik
buat apa doa?
macam lah boleh dapat!
hati saya tak endah
walau kadang hati kecil ada terdetik, terhasut..almaklum manusia
tambah bila kurnia Allah lambat tiba
saya jadi tak sabar!

terus tersedar
kembali berdoa
dan saat jiwa kecewa hampir tiba
Dia kurniakan permintaan secara pukal!!!
1...2...3....4...dikurnia serentak!
oooooh itukah formulaMu ya Allah!

maha suci Allah!!
sungguh luas kasihMu ya Allah
Redhokanlah kehidupan kami
dengan rahmatmu sentiasa ya Allah

berdoalah kawan!
kerana Dia Maha Penyayang!
sangat infiniti dengan kasih sayang
berdoalah........


Doa merupakan perkara yang sangat penting dalam kehidupan seorang Muslim. Berdoa juga merupakan pengakuan seseorang hamba terhadap kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala dan suatu tanda keyakinan bahawa tiada tempat meminta tolong melainkan kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata'ala menyukai orang-orang yang berdoa kepada-Nya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sering kali berpesan supaya kita memperbanyakkan berdoa dan mengingatkan kita betapa doa itu mempunyai banyak kelebihan.

Ketahuilah bahawa doa adalah penggerak dalaman yang memberikan kekuatan, keyakinan, harapan dan keberkatan dalam apa jua amal perbuatan. Oleh itu di dalam Islam pada setiap amal dan perbuatan yang dilakukan terdapat doa-doa tertentu yang baik untuk diamalkan sama ada sebelum melakukan sesuatu perbuatan atau selepas melakukannya. Ini jelas menunjukkan betapa berdoa itu adalah salah satu daripada keperluan yang penting di dalam mencari keberkatan, keredaan dan perlindungan Allah SubhanahuWata'ala dalam mencapai segala yang dilakukannya.

Doa itu sangat mulia dan tinggi nilainya. Untuk mendapatkan doa yang mustajab, umat Islam dituntut membacanya dengan beradab. Di antara adab tersebut ialah orang yang berdoa hendaklah dalam keadaan berwuduk, mengadap kiblat, memulakan dan mengakhiri doa dengan menyebut dan memuji nama Allah Subhanahu Wata'ala serta memberi selawat dan salam kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Berdoalah dengan rendah hati, khusyuk dan tawaduk kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Dan adalah lebih afdal diulang-ulang doa tersebut sebanyak tiga kali.

Perlu diingat juga bahawa kita tidaklah boleh berdoa dengan suatu yang tidak munasabah dan mustahil ataupun mendoakan keburukan dan kecelakaan kepada orang lain. Dalam kita berdoa, adalah lebih elok jika turut berdoa untuk kebaikan dan kesejahteraan umat Islam seluruhnya, dan lebih utama lagi kita  turut mendoakan untuk ibu bapa dan anak-anak kita. Doa anak-anak kepada kedua ibu bapanya adalah besar manfaatnya, lebih-lebih lagi apabila keduanya telah meninggal dunia. Oleh itu adalah wajar bagi kita sentias berdoa untuk ibu bapa kita kerana mereka merupakan orang yang sangat berjasa dalam kehidupan kita, insan yang telah memelihara dan mendidik kita dari kecil hingga dewasa, yang sanggup berkorban apa saja demi anak-anak yang dikasihi. Begitulah juga halnya dengan ibu bapa, digalakkan supaya mendoakan anak-anak mereka seperti mana Nabi Ibrahim Alaihissalam mendoakan anaknya sebagimana firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ash-Shaaffat ayat 100 tafsirnya:

"Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong dari orang-orang yang soleh."

Perlulah diketahui bahawa terdapat banyak waktu jika kita berdoa di dalamnya, doa akan mudah dan cepat dimakbulkan, di antaranya ialah malam Jumaat dan hari Jumaat, waktu di antara azan dan 'iqamah, ketika khatib duduk di antara dua khutbah, ketika sujud di dalam sembahyang, setelah sembahyang fardu, di bulan Ramadan, pada malam Al-Qadar, hari Arafah, ketika minum Air Zam-Zam, ketika membaca Al-Qur'an terutama apabila khatam dan banyak lagi.

Sebagai orang Islam, kita hendaklah memperbanyakkan doa, kerana doa itu menunjukkan kita merendahkan diri, taat dan ingat kepada Allah Subhanahu Wata'ala, sama ada ketika senang mahupun susah. Berdoalah dengan bersungguh-sungguh dan yakin bahawa doa tersebut akan diperkenankan dan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala. Janganlah mudah berputus asa jika doa belum dimakbulkan ataupun terburu-buru mengharapkan supaya doanya cepat dimakbulkan.

Namun perlu juga diingat bahawa terdapat beberapa perkara yang boleh menyebabkan doa tidak dimakbulkan Allah Subhanahu Wata'ala, antaranya ialah orang yang berdoa itu tidak dicintai Allah Subhanahu Wata'ala kerana mengabaikan perintah dan larangan-Nya. Oleh itu jika mahu menjadi hamba yang dicintai Allah, kita hendaklah mentaati segala perintah Allah Subhanahu Wata'ala dan menjauhi larangan-Nya supaya menjadi Muslim yang beriman dan dicintai Allah, dengan demikian barulah doa yang dipohonkan akan dimakbulkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala sebagimana disebutkan dalam Surah Al Baqarah ayat 186 tafsirnya:

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka katakan kepada mereka: Sesungguhnya Aku sentiasa hampir kepada mereka. Aku perkenankan permohonan orang-orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu menyahut seruan-Ku dengan mematuhi perintah-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka sentiasa berada dalam kebenaran."

Selain itu, jika kita tidak mahu doa kita ditolak, kita hendaklah memastikan makanan, minuman dan pakaian adalah daripada sumber yang halal. Dalam sebuah kisah, Baginda Sallallahu 'Alaihi Wasallam menceritakan tentang seorang lelaki yang telah melalui suatu perjalanan yang jauh, lelaki tersebut dalam keadaan kusut-masai dan berdebu rambutnya, menadahkan kedua-dua tangannya ke arah langit untuk berdoa: "Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku!" Padahal makanan lelaki itu dari sumber yang haram, minuman dari sumber yang haram, pakaiannya dari sumber yang haram dan ia makan makanan yang haram, lalu bagaimanakah doanya akan diterima?

Sudah menjadi kelaziman apabila mengadakan majlis-majlis perayaan atau perhimpunan, majlis suka dan duka, tidak kira majlis kecil atau besar, sudah pastinya tidak akan meninggalkan amalan doa. Amalan tersebut sangat baik lagi terpuji. Amalan tersebut adalah sebagai tanda syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala di atas limpahan nikmat kurnia-Nya serta bagi memohon keberkatan dan rahmat Allah Subhanahu Wata'ala jua. Tapi apa yang mendukacitakan ialah terdapat segelintir orang yang tidak mengambil berat akan amalan berdoa. Ini dapat kita lihat apabila doa dibacakan di dalam sesuatu majlis atau yang seumpamanya, terdapat orang yang tidak mengendahkan untuk mendengar doa yang dibacakan. Begitu juga akan halnya setelah selesai mengerjakan sembahyang, termasuklah ketika mengerjakan sembahyang berjemaah di masjid, didapati terdapat orang yang terus bangkit tanpa berdoa terlebih dahulu.

Alangkah ruginya mereka yang tidak ikut serta berdoa kerana pada doa yang dibacakan dalam suatu majlis, atau selepas sembahyang dan seumpamanya lazimnya mengandungi permohonan untuk mendapatkan keampunan, rahmat, keberkatan, kesejahteraan, kesihatan dan keselamatan serta memohon perlindungan diri dan keluarga dari mara bahaya, bencana dan sebagainya. Sepatutnya doa yang dibacakan itu kita dengar dengan khusyuk dan tawaduk serta turut mengaminkan agar kita turut sama mendapat keberkatan dari doa tersebut. Dan ingatlah bahawa orang yang tidak mahu berdoa dianggap sebagai orang yang sombong kepada Allah Subhanahu Wata'ala, bahkan mereka juga akan mendapat kemurkaan dari Allah Subhanahu Wata'ala sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam maksudnya:

"Dari Abu Hurairah Radiallahuanhu katanya: Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam bersabda: orang yang tidak meminta (berdoa) kepada Allah, Allah murka kepadanya."

Sesungguhnya setiap doa yang dipanjatkan yang disertakan dengan keikhlasan kepada Allah SubhanahuWata'ala, tidak kira cepat atau lambat, doa itu pasti akan dimakbulkan. Apa yang penting kita telah berusaha dan yakin apa yang dipohonkan dan dihajati akan diterima Allah Subhanahu Wata'ala. Oleh itu perbanyakkanlah doa sepanjang masa. Ingatlah bahawa doa itu senjata orang mukmin, di mana melalui doa, keampunan dan rahmat akan diperolehi, manakala musibah dan kesusahan terhindar kerana jika Allah Subhanahu Wata'ala menghendaki dan memperkenankan doa hamba-Nya, tidak ada suatu pun yang dapat menghalang kerana Allah Subhanahu Wata'ala tidak akan mensia-siakan doa hamba-Nya yang penuh dengan keikhlasan.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Ghaafir ayat 60 tafsirnya:

"Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk Neraka Jahanam dalam keadaan hina."


nota: 
lately saya kemaruk emilatopia, harap kak emi tak marah. saya letak kredit selayaknya untuk ilustrasi emilatopia

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Sirap sedap terbongkar!

Rumahku wangi..syurgaku..