Hanya doktor wanita di bilik bersalin?


DECEMBER 09, 2013
Isu doktor lelaki bertugas menyambut kelahiran dan mengendalikan masalah bersalin bukanlah isu yang baru.

Namun, baru-baru ini, isu ini kembali hangat terutama di alam maya apabila ada permintaan dari masyarakat agar yang mengendalikan pesakit wanita di bilik bersalin hanyalah doktor perempuan.

Ramai yang sudah mengulas isu ini sama ada dari kalangan agamawan mahupun doktor. Tujuan tulisan kami ini bukanlah untuk menambahkan kekusutan, cumanya berhajat untuk menjelaskan keadaan dan bergerak ke arah penyelesaian.


Apa yang masyarakat terutama orang Islam inginkan?

Mereka mahukan bahawasanya yang merawat dan mengendalikan pesakit masalah perbidanan dan sakit puan terdiri hanya dari kakitangan perempuan.

Ini kerana, bahagian sensitif wanita terdedah sepanjang rawatan dan doktor juga terpaksa memeriksa dan menyentuh bahagian sulit tersebut. Maka tidak patutlah bagi seorang lelaki untuk terlibat dalam hal tersebut.

Apakah pandangan Islam?

Sebahagian sarjana membahagikan aurat kepada berat (kemaluan dan punggung) dan ringan. Melihat kepada aurat berat lebih kuat pengharamannya berbanding aurat ringan .

Asal hukum, aurat haram dilihat. Walaubagaimanapun sekiranya ada “dhorurat”, maka dibenarkan.

Maka bagi tujuan perubatan, dibenarkan doktor lelaki untuk merawat pesakit yang berlawanan jantina kerana memelihara nyawa itu adalah terlebih utama daripada keharaman melihat aurat.

Seperti yang disebut oleh Khatib As-Syarbini As-Syafie: “Adalah harus untuk melihat dan menyentuh bagi tujuan berbekam dan rawatan, walaupun kemaluan, jika ada keperluan kepadanya, kerana pengharaman pada waktu tersebut boleh membahayakan. Maka bagi seorang lelaki merawat seorang perempuan dan sebaliknya adalah dibolehkan dengan syarat tidak ada perempuan yang mampu melakukan rawatan tersebut.”

Tambahan untuk itu, doktor tersebut hendaklah bersama-samanya mahram atau wanita yang dipercayai, tujuannya untuk selamat dari fitnah (kejahatan). Maka inilah peranan chaperone seperti yang ada sekarang.

Ini disebutkan oleh Imam Zakarya Al Ansari: “Dalam proses rawatan yang memerlukan penglihatan (aurat), mestilah wujud bersama pesakit itu mahramnya, atau suaminya atau sesiapa sahaja yang diharuskan melihat (auratnya) tanpa sebarang hajat (pada keadaan biasa).”

Walau bagaimanapun, sekiranya dia berusaha dan mampu untuk mendapatkan doktor perempuan untuk tujuan tersebut dengan pergi ke hospital tertentu yang ada menyediakan khidmat doktor perempuan, maka itulah yang lebih baik.

Doktor yang baik tidak dapat dilahirkan tanpa latihan yang secukupnya. Latihan atau pembelajaran yang tidak sempurna akan menjejaskan tugasan selepas dia menjadi seorang doktor kelak yang mana pesakitnya terdiri dari lelaki juga perempuan dan mungkin boleh mengancam nyawa orang lain.

Oleh yang demikian, sesuatu yang tidak sempurna kewajipan menjadi seorang doktor itu melainkan dengan proses pembelajaran itu tadi, maka hukumya juga wajib.

Kaedah fiqh mengatakan: “Sesuatu yang tidak sempurna kewajipan itu melainkan dengan perkara tersebut, maka ianya juga wajib.”

Pelajar dibenarkan untuk melaksanakannya dalam masa yang sama dia perlu menjaga akhlak dan peribadi sebagai seorang Muslim dan perlu menjaga garis panduan yang ditetapkan.

Dalam masa yang sama, pelajar hendaklah sentiasa menjaga nafsu dirinya serta sentiasa meluruskan niatnya adalah untuk belajar. Tanpa syak pada iman seseorang, perlu diingatkan syaitan sentiasa menduga manusia. Maka haruslah berwaspada juga dalam proses pembelajaran.

Apakah realiti sistem kesihatan kita kini?

Sebelum kita pergi kepada solusi, kita haruslah meneliti dan melihat keadaan realiti sistem kesihatan kita kini.

Pelajar perubatan

Bagi pelajar perubatan di seluruh dunia (bukan sahaja di Malaysia), bidang perbidanan dan sakit puan adalah subjek besar yang wajib dipelajari. Mempelajari subjek ini memakan masa sebulan atau lebih, bergantung kepada universiti.

Seringkali, bidang ini akan dipelajari dua kali, sekali pada tahun awal atau pertengahan klinikal dan sekali lagi pada tahun akhir klinikal. Kenapa subjek ini wajib dipelajari?

Ini kerana bidang perbidanan dan sakit puan adalah salah satu asas yang perlu dikuasai oleh seorang doktor. Mudah kata, jika doktor tidak menguasai bidang ini, dia tidak layak bergelar doktor.

Bagi melengkapkan pelajar perubatan dengan ilmu ini, dia akan didedahkan dengan pelbagai rawatan dan pengurusan pesakit, antaranya termasuklah cara-cara memeriksa ibu mengandung, melihat atau mengendalikan wanita bersalin, melihat kaedah calitan Pap (Pap smear) pada serviks, melihat pembedahan “Caesarean section” dan lain-lain lagi. Jika dia tidak didedahkan dengan perkara-perkara ini, pengetahuannya akan terjejas kelak bila dia bergelar doktor.

Doktor siswazah

Doktor siswazah atau dikenali juga sebagai “house officer” adalah doktor perubatan yang baru menghabiskan pengajiannya.

Mereka diwajibkan oleh kementerian untuk bertugas dalam 6 bidang (posting) utama iaitu Perubatan (Internal Medicine), Kanak-kanak (Pediatrics), Pembedahan (Surgery), Ortopedik, Kecemasan/Anesthesiology dan termasuk antara yang enam ini adalah Perbidanan dan Sakit Puan (Obstetrics and Gynecology/O&G).

Tempoh bertugas bagi setiap jabatan adalah selama empat bulan, menjadikan jumlah keseluruhan tugas sebagai “house officer” selama dua tahun.

Ketika inilah “house officer” akan dilatih untuk menguruskan pesakit, termasuklah antaranya mengetahui keadaan pesakit, membuat siasatan dan pemeriksaan lanjutan, serta memberikan rawatan.

Jadi, antara latihan yang perlu dijalani ialah mengendalikan wanita bersalin, pemeriksaan kandungan, pemeriksaan faraj dan lain-lain. Perlu diketahui, antara undang-undang yang perlu dipatuhi adalah perlunya kewujudan “chaperone” (atau kakitangan wanita) bersama dengan doktor ketika pemeriksaan atau rawatan.

Jika ditimbulkan cadangan bahawa tidak patut ada doktor lelaki dalam jabatan O&G, maka ke manakah kita mahu pindahkan doktor-doktor lelaki ini? Baiklah.

Jika kita kecualikan latihan O&G bagi doktor lelaki, bermaksud doktor lelaki hanya ada lima “posting”, pada saya itu lebih meringankan doktor lelaki. Namun tidakkah itu akan memberatkan doktor perempuan?

Bayangkan contohnya satu jabatan terdapat 40 pesakit, “house officer” yang bertugas adalah seramai lima orang – tiga lelaki dan dua perempuan. Jika lelaki itu dikeluarkan dari wad tersebut, maka tinggallah dua “house officer” perempuan.

Nisbah “house officer” kepada pesakit yang asalnya adalah 1:8, kini sudah menjadi 1:20. Tidakkah membebankan tugasan doktor perempuan dan juga mengurangkan efisyen tugas?

Dalam 40 orang pesakit itu, tidak semuanya normal, pasti ada yang perlu diberikan perhatian lebih, contohnya yang mempunyai penyakit darah tinggi, atau kencing manis, atau pendarahan dan lain-lain.

Itu semuanya adalah nilaian nyawa dan keselamatan pesakit. Belum campur tugasan di dewan bersalin, bilik bedah dan klinik lagi. Apakah mampu keseluruhan jabatan itu dikendalikan oleh dua atau tiga “house officer” perempuan tersebut?

Jika contohnya dalam sehari kira-kira 30 wanita bersalin, bagaimana dengan pesakit di wad? Bagaimana dengan tugasan di bilik bedah? Bagaimana pula dengan tugasan klinik?

Mungkin ada yang mengemukakan cadangan kedua, iaitu kita masukkan doktor-doktor perempuan dari jabatan lain.

Bermaksud, doktor perempuan misalnya dari jabatan pembedahan dipindahkan ke jabatan perbidanan dan sakit puan bagi menampung kekurangan.

Jika begitu, bagaimana pula dengan pesakit perempuan di jabatan lain? Adakah aurat mereka tidak terdedah ketika rawatan dijalankan?

Bagaimana jika mereka mempunyai penyakit yang berkaitan dengan saluran air besar? Bagaimana jika mereka mempunyai kecederaan di bahagian tulang pinggul?

Bagaimana pula jika mereka mempunyai penyakit payu dara? Kesemua yang saya sebut itu tadi adalah sebahagian contoh yang memerlukan pesakit untuk mendedahkan kemaluan mereka bagi tujuan pemeriksaan dan rawatan.

Hakikatnya, kita tidak mampu menganggarkan jumlah pesakit yang akan datang ke hospital pada suatu-suatu masa, sama ada lelaki atau perempuan kerana kecemasan boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

Ketika melakukan pemeriksaan kandungan pula (antenatal care) atau calitan Pap (Pap smear), pesakit boleh meminta doktor perempuan.

Namun jika tidak cukup bilangan mereka, contohnya mereka sedang menguruskan pesakit yang dalam kecemasan, bersalin atau pembedahan, maka tidak dapat tidak anda haruslah berurusan dengan mana-mana doktor yang ada.

Hari ini, nisbah “house officer” kepada pesakit semakin mengecil, iaitu kira-kira 1:3, sedangkan di United Kingdom nisbahnya adalah 1:12.

Namun walaupun semakin mengecil, hakikatnya masih ada “house officer” di sesetengah hospital yang mengendalikan jumlah pesakit lebih dari tiga orang, mungkin mencecah sehingga satu wad.

Ini adalah kerana masalah pembahagian jumlah “house officer” yang tidak seimbang bagi setiap hospital. Masalah ini harus diselesaikan terlebih dahulu.

Pegawai perubatan

Setelah tamat dua tahun latihan, doktor siswazah akan menjadi pegawai perubatan atau medical officer”.

Mereka ini akan bertugas di satu-satu jabatan sahaja, dan tidak perlu bertugas bertukar-tukar posting seperti “house officer”. Walau bagaimanapun, akan ada tempoh di mana “medical officer” ini akan ditugaskan untuk berkerja di hospital-hospital daerah atau pun klinik kesihatan.

Di hospital daerah, tidak ada kepakaran untuk setiap jabatan. Merekalah yang akan menjadi doktor bertugas untuk bermacam-macam penyakit merangkumi pelbagai bidang sama ada kanak-kanak, pembedahan, trauma, kemalangan dan juga O&G.

Jika ada ibu-ibu yang akan bersalin, merekalah yang akan mengendalikannya. Di klinik kesihatan pula, kes-kes penyakit harian dan juga penyakit yang perlukan pemeriksaan berkala dijalankan. Termasuklah pemeriksaan kandungan (antenatal care).

Di hospital daerah itu tadi, jikalau bilangan doktor perempuan mencukupi, maka anda bolehlah membuat permintaan. Namun, hakikatnya tidaklah semudah itu.

Doktor tidak seramai seperti di hospital besar. Maka jika doktor itu lelaki, dialah yang akan menguruskan masalah anda termasuklah bersalin. Jika anda tetap menolak, anda telah merisikokan diri anda dan anak anda dalam bahaya.

Bayangkan jika doktor lelaki ini tidak mempunyai pengetahuan dan pendedahan yang cukup sewaktu menjadi pelajar perubatan, juga tidak mendapat latihan yang cukup ketika “house officer”, mampukah dia menjadi doktor yang berkemampuan untuk mengendalikan masalah bersalin anda? Tidakkah ianya merisikokan nyawa anda dan anak anda?

Pakar perubatan

Kerjaya sebagai pakar perubatan O&G bukanlah kerjaya mudah. Untuk menjadi pakar, anda perlu menghabiskan latihan dan pembelajaran kira-kira empat atau lima tahun.

Dalam usaha untuk membuat thesis dan mengulangkaji, anda juga harus bertugas sebagai doktor untuk merawat dan bertugas “on-call”. Masa bersama keluarga tidaklah sebanyak orang yang berkerja waktu pejabat.

Jika anda mempunyai isteri, adakah anda sanggup menjadi suami kepada seorang yang banyak masanya di hospital, kurang masanya dengan anak-anak berbanding ibu-ibu lain, di rumah pula mungkin dia sibuk untuk mengulangkaji?

Kerjaya sebagai pakar O&G juga berdepan dengan tindakan undang-undang. Adakah anda sanggup menjadi suami yang terpaksa mengorbankan sedikit kasih sayang dan layanan manja isteri demi meramaikan golongan wanita dalam bidang ini?

Jika ya, saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya. Semoga Allah memudahkan urusan anda. Jika tidak sanggup, anda tidak perlu mengeluarkan kata-kata kesat atau berburuk sangka dengan doktor-doktor lelaki yang menceburi bidang ini.

Hakikatnya, kita masih kurang jumlah pakar perubatan O&G. Kekurangan ini akan memberi kesan kepada rawatan dan keselamatan pesakit.

Lain-lain permasalahan

Walaupun jumlah graduan perubatan semakin bertambah, hakikat yang perlu diketahui ialah nisbah doktor kepada pesakit masih belum mencapai piawaian seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu 1 doktor kepada 400 pesakit. Setakat ini nisbahnya ialah 1:791.

Secara umumnya juga, kita masih kekurangan tenaga pakar perubatan, terutama dalam sektor awam. Pakar-pakar ini sebahagiannya berkerja di sektor swasta, sedangkan majoriti masyarakat mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Jika kepakaran tidak cukup, bagaimanakah kita ingin melatih doktor-doktor yang lebih muda? Bagaimanakah “house officer” mampu belajar?

Saya bukan ingin menuding jari kepada pakar-pakar yang berpindah ini, namun masalah ini harus diselesaikan juga. Punca-punca perpindahan perlu dikenalpasti. Skim gaji, persekitaran dan fasiliti perlu diberikan perhatian dengan teliti.

Selain itu, waktu menunggu bagi pesakit juga masih lama. Di sesetengah hospital, jumlah katil sangat tidak mencukupi sehingga menyebabkan wad menjadi padat dan tidak selesa.

Ada sesetengah dari anggota masyarakat yang berpandangan doktor lelaki yang terlibat dalam bidang O&G ini adalah kerana mahu mengambil kesempatan dan mahu melempiaskan nafsu syahwat.

Persoalan yang harus ditanya semula kepada mereka yang berpandangan sebegini ialah, kenapa doktor tersebut perlu mengambil risiko untuk lesennya digantung atau dikenakan tindakan undang-undang sedangkan mereka sudah bersusah payah menghabiskan kewangan dan tenaga serta masa bertahun-tahun tapi akhirnya hanya bertujuan untuk melempiaskan nafsu syahwat?

Di bilik bersalin dan bilik pembedahan bukanlah indah seperti yang dijangka. Pendarahan, cecair, jeritan kesakitan dan perasaan cemas untuk menyelamatkan nyawa menjadikan bilik itu bukanlah bilik yang menyuburkan nafsu syahwat, melainkan orang itu ada masalah mental.

Juga seperti yang saya sebutkan, undang-undang mewajibkan keberadaan “chaperone” ketika pemeriksaan dan rawatan dilakukan.

Cadangan penyelesaian

Setiap anggota masyarakat haruslah berganding bahu ke arah penyelesaian. Kita bukan sekadar mahu menerima, kita juga harus sanggup berkorban untuk memberi.

Kita harus akui, realiti dan cabaran dalam sistem kesihatan kita ini seolah-olah sukar diubah dalam masa yang terdekat. Namun, bukan bermakna kita harus berputus asa.

Bagi penyelesaian jangka pendek, suami isteri boleh berusaha untuk mengumpul kewangan bagi membolehkan isteri bersalin di hospital swasta.

Insya-Allah, hospital swasta selalunya dapat memenuhi permintaan agar semua staff yang menguruskan anda ialah staff perempuan.

Namun, kekurangan hospital swasta adalah dari sudut bayaran dan juga dari sudut kepakaran serta kelengkapan. Selalunya hospital kerajaan mempunyai pakar dan staff yang lebih terlatih dan mempunyai kelengkapan kecemasan yang lebih lengkap seperti bank darah.

Jadi, risikonya adalah jika berlaku apa-apa kecemasan yang membahayakan nyawa, hospital swasta yang tidak mampu mengendalikan masalah tersebut selalunya akan memindahkan pesakit ke hospital kerajaan.

Perjalanan ke hospital kerajaan tersebut juga memakan masa, menambahkan lagi risiko kepada keselamatan isteri dan anak anda. Dari satu sudut, badan-badan bukan kerajaan mungkin boleh menggerakkan bantuan dan sokongan kewangan kepada mana-mana keluarga yang tidak mampu dari sudut kewangan.

Bagi penyelesaian jangka panjang, sistem itu sendiri perlu diperbaiki. Masalah-masalah asas seperti kekurangan tenaga pakar, kekurangan fasiliti di hospital, pembahagian jumlah “house officer” yang tidak sama rata haruslah diselesaikan dahulu kerana ini juga adalah masalah yang besar.

Penyelesaian jangka panjang juga tidak harus mengabaikan pesakit dan doktor di jabatan lain, seperti jabatan pembedahan, kecemasan dan ortopedik misalnya yang juga memerlukan pesakit mendedahkan aurat dan bahagian sulit mereka.

Juga, kita tidak boleh ambil ringan tentang pesakit lelaki, yang mempunyai sakit di bahagian alat sulit, mereka juga mempunyai maruah yang perlu dipertahankan, sama seperti wanita.

Selain itu, jumlah jururawat juga harus seimbang untuk pesakit lelaki dan perempuan. Jururawat juga seringkali perlu melihat aurat pesakit lelaki ketika bertugas.

Cadangan seperti membina lebih banyak pusat jagaan anak-anak di hospital bagi pakar O&G perempuan juga boleh dipertimbangkan.

Ilmuwan Islam juga harus sentiasa berdialog dan berbincang bersama pakar-pakar perubatan agar idea penyelesaian dapat dilaksanakan.

Antara cadangan bernas yang boleh diambil kira adalah penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan Negara.

Penubuhan suruhanjaya ini adalah bagi merombak dan menyusun semula sistem kesihatan Malaysia, sama ada hal ehwal kebajikan doktor, kebajikan staff kesihatan yang lain, skim gaji pakar, kebajikan pesakit, pengiktirafan dan penyusunan semula institusi pendidikan perubatan negara dan luar negara serta pelbagai lagi isu dan masalah yang berasal dari akar umbi sistem kesihatan kita sendiri.

Suruhanjaya ini akan menjadi lebih bebas dan lebih berkuasa dalam menentukan hala tuju sektor kesihatan negara.

Nasihat dan renungan

Buat akhirnya, dalam pencarian solusi kepada permasalahan yang ada, tidak harus kita menjadi emosi dan berburuk sangka satu sama lain.

Masyarakat yang matang dan bertamadun duduk bersama berbincang mencari titik pertemuan dan penyelesaian secara profesional dan berfakta, bukan terburu-buru dan tuduh-menuduh.

Kata-kata kesat yang dilemparkan tidak akan menjadikan penyelesaian semakin mudah, malah semakin susah. Jika anda mahu hak anda ditunaikan, hargailah pengorbanan orang lain.

Tugas sebagai doktor dalam jabatan O&G bukanlah tugasan yang mudah. Masa, tenaga dan kesenangan dikorbankan demi menyelamatkan nyawa pesakit dan anaknya. Jika tidak mampu mengucapkan terima kasih, maka senyap itu lebih baik dari mulut yang mencela. – 9 Disember, 2013.

http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/hanya-doktor-wanita-di-bilik-bersalin-hidayat-hasni

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Sirap sedap terbongkar!

Rumahku wangi..syurgaku..