The Livin heaven...



Tid Bit Parenting 23 : Seni Buaian, Method Pendidikan ‘Jiwa’ Terawal Selepas Kelahiran.
Jika kita mahu hidup setahun tanamlah gandum, jika kita mahu hidup sepuluh tahun tanamlah pokok, dan jika kita mahu hidup selama-lamanya tanamlah JIWA manusia.

Ungkapan tersebut jelas menampakkan bahawa jiwa manusia menjadi cerucuk utama yang perlu dibentuk dan dipelihara seawal seorang bayi diayunkan, didodoikan dan diendoikan di dalam buaian. Sekaligus, ia merangkaikan peri pentingnya ‘sentuhan serta belaian lembut’ seorang ibu sehingga mampu membentuk sebuah peradaban manusia yang berdiri utuh dan kukuh.

HARI INI ramai mengeluh dengan akhlak anak yang kaku. Namun, anak tidak sewajarnya dipersalahkan sepenuhnya kerana kebarangkalian terdapat barang secebis kedangkalan dalam proses pembentukan permata tersebut pasti ada. Jangan salahkan intan jika sinarnya tak menyerlah, perbaikilah jauhari yang mencanainya.

Secara analogi, budaya buaian sudah menjadi amalan terhadap setiap bayi pada awal kelahirannya yang sentiasa berkesinambungan dari generasi ke generasi. Kendatipun begitu, atas dasar alasan mencari nafkah, segelintir para ibu masa kini lebih mementingkan kerjaya daripada pembentukan hati budi yang murni lagi mulia keperibadiannya.

Ramai Ibu moden lebih suka memilih khidmat maid atau menghantar anak yang baru sahaja dilahirkan kepada pengasuh untuk dijaga. Walhal, pada kebiasaannya pengasuh akan HANYA memastikan anak yang dihantar itu hidup semasa diambil semula petang nantinya. Kami masih sedih dengan berita adik yang meninggal 2 jam sebelum diambil bapa tanpa disedaripun kematiannya oleh pihak taska. Sering juga dengar kisah mereka diberi valium sebagai ubat tidur untuk tidur sehingga waktu petang. Jika ditidurkan dengan betulpun, sejauh mana pengasuh ini mendodoikan kesemua anak-anak yang dihantar kepada mereka?

Apa yang penting pada mereka, makan, minum dan pakaian anak mereka terjaga. Persoalannya bagaimana pula dengan tanggungjawab sebagai seorang pendidik serta pembimbing kepada bakal penerus generasi tersebut? Adakah seorang ibu itu harus terus bersikap evasif, yakni mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai tangan yang menanam pokok jati diri di dalam sanubari anak tersebut?

Bertatangkan konsep PEMBENTUKAN ANAK SEBELUM DISENTUH MANUSIA atau dalam erti kata yang lebih mudah, anak tersebut belum lagi mencapai tahap mumayyis. Lebih mudah lagi, inilah fasa anak-anak masih belum dicemari dengan pengaruh dan doktrin luaran yang mereka dapati dari fungsi pandang dan dengar. Pastinya melalui satu konsep yang digarap melalui kaedah ayunan buaian tangan seorang ibu.

Justifikasinya, ayunan tangan seorang ibu yang lembut, dialunkan pula bersama irama yang indah serta intonasi suara yang lembut, pastinya akan membentuk jiwa yang mudah dibentuk. Bertitik tolak dari pada itu, pasti tiada kekangan bagi memanifestasikan akhlak yang berteraskan Alquran ke dalam diri anak tersebut jika alunan bacaan itu boleh menyambung azan semasa lahir dulu.

Ketika mendodoi, nyanyian yang bermesej dialunkan, seorang ibu akan mendoakan apa sahaja yang mereka inginkan terhadap bayi tersebut melalui konsep doa yang dizikirkan. Pastinya setiap apa yang didoakan bertepatan mengikut kondisi. Secara tamsilnya, sekiranya doa ibu terhadap bayi lelaki konsep “di dalam kelembutan ada ketegasan” perlu diimplimentasikan. Manakala, doa seorang ibu terhadap anak perempuannya pasti lebih menjurusnya sifat, ciri-ciri serta melaksanakan fungsi diri sebagai ibu yang bakal melahirkan permata Negara yang tajam pemikiran seperti pemimipin ibarat Sultan Muhammad Al-Fateh.

Pendekatan itu telah terbukti berkesan seperti yang diamalkan oleh kami di Prihatin. Tidak mungkin semasa mendodoikan anak-anak kecil, mereka dinyanyikan dengan pekikan rancak lagu rock pula. Pastilah alunan yang didendangkan berunsur aspirasi, nasihat dan selawat yang menjadikan anak-anak itu orang yang mudah dibentuk. Itulah method awal pendidikan kepada anak-anak ini.

Jika hari ini kita mendengar sebuah lagu baru di radio, esoknya kita mungkin dah lupa. Tetapi jika setiap hari beberapa kali kita dengar, pasti akan melekat dalam jiwa secara kekal. Semasa mereka dalam buaianlah waktu terbaik untuk memulakan pendidikan. Rugilah bagi mereka yang terlambat melakukannya. Pembinaan anak hanya berlaku SEHALA sahaja dan ia hanya berlaku sekali tanpa boleh diulangi lagi. Jika hari ini anak kita mula tersenyum, mula bercakap, mula bertatih, mula bermain, mula merangkak dan itu semua hanya berlaku sekali sahaja. Jika kita terlepas, masa tak mungkin berpatah balik ke belakang.

Kerana itulah ada yang mengatakan wanita sebagai tulang belakang bagi sesebuah institusi kekeluargaan, seterusnya bakal membentuk anak watan yang tahu fungsi diri sebagai penerus generasi, samada fungsi sebagai nisa’(perempuan) mahupun rijal(lelaki).

Sebagai seorang ibu, usahlah memutuskan pertalian yang sudah dijalin erat bersama anak itu sendiri sejak azali. Sesungguhnya Allah maha besar lagi maha mengetahui. Anak ibarat kain putih yang memerlukan pencorak. Terletak pada iman sendiri bagaimana ingin mencoraknya dengan baik sehingga kelihatan cantik dan indah apabila dipakai orang.

Walau apapun jua ambillah uswah Siti Hajar dalam kegigihannya membentuk Ismail sebagai entiti mithali yang ideal. Sesungguhnya “TANGAN IBU YANG MENGHAYUN BUAIAN MAMPU MENGGEGARKAN DUNIA”, Cuma samada mahu gegar kearah positif mahupun negatif, diri dan hati yang menentukannya.

Deduksinya, perkara yang kecil jangan diambil enteng kerana perkara yang sekecil zarah itulah mampu membawa perubahan yang besar terhadap dunia. Jika pelayaran kita mengikut 1 sasaran menuju satu destinasi sejauh ribuan batu tetapi terpesong seinci pada awal mula, ia akan tersasar ribuan batulah jawabnya semasa tiba di destinasi.

Mulakannya awal, mulakannya sekarang.

Nukilan dari,
ANAK PRIHATIN

KOMENTAR ADMIN:

Anak kami ini baru masuk sekolah menengah rendah Maahad. Pelajar terbaik UPSR, Pemenang Anugerah EMAS yang mewakafkan hadiah tunai dan basikal barunya kepada keluarga Prihatin. Mumtaz Sekolah Agama. Berazam untuk jadi Doktor Pakar Sakit Puan untuk membela nasib wanita. Maaflah, banyak istilah baru yang admin pun tak pasti sebenarnya, namun kami tanyakan guru sekolah katanya memang ada istilah begitu sekarang. Kami biarkan ia kerana mungkin anda nak tunjuk kepada anak anda yang sebaya dengannya.

Beliau menulis dari perspektif diri sendiri yang mendodoi dan mengendoikan adik-adiknya sendiri sebagai salah satu fungsi seorang kakak di Prihatin. Ya, beliau seorang anak nisa (perempuan). Penulis menuliskan artikel ini setelah melihat perbandingan anak-anak yang tidak dibuai dan dodoi dengan anak-anak terbiar yang di bawa ke Prihatin. Memang ada beza yang sangat jauh. Ternyata yang didodoi dan dibuai ini lebih mudah dibentuk dengan kasih sayang.

Dalam alunan dodoi dan buaian, kedua-dua anak dan pendodoinya perlu dalam keadaan tenang. ‘Energy transfer’ yang berlaku melalui tindakan mendodoi itu akan tercermin kepada pembentukan peribadi awalan anak-anak ini. Kami menyaksikan sendiri, anak-anak yang dibuai dengan mesin sukar dikawal tangisannya berbanding dengan anak-anak yang didodoi dengan tangan dan nyanyian Si pendodoi. Gerak hayun buai juga menunjukkan emosi yang tertumpah zahirnya kepada anak dalam buaian. Yang tidak pernah dibuai apatah lagi.

Jika tidak penting, tidaklah Nabi berpesan dengan spesifik tentang buaian.

اطْلُبُوا الْعِلْمَ مِنَ الْمَهْدِ إِلَى اللَّحْدَ
Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad

Walaupun pada sesetengah pandangan mengatakan hadith ini “Laa ashla lahu” (tiada dasar), tetapi kami lihat ia sangat relevan. Seperti juga hadis “belajar dengan cina” yang dikatakan lemah atau palsu terus. Kami bukan ilmuan untuk melihat secara teknikal tentang sanad hadith itu. Kami cuba cari sudut perintah perlaksanaan untuk dilaksanakan dan memberikan hasil baik. Jika jelas kebaikannya, maka kami anggap ia benar kerana semua yang baik itu hanya dari Allah. Nabi juga tidak melakukan selain dari apa yang Allah mahukan. Jangan didebatkan tentang hadith itu dhaif ataupun kuat, tetapi soal pokoknya secara aplikasi sains, buaian menjadi method pendidikan pertama selepas kelahiran.

BUAIAN semakin dilupakan. Jika tidak dilupakan pun, ia sudah tidak dibuai dengan tangan dan kasih sayang. Ia hanya dihayun dengan bateri, spring dan pergerakan mekanikal mesin tanpa ada aliran kasih sayang. Kami membuat kajian sangat mendalam yang mungkin jauh dari kotak fikir anda tentang ‘energy transfer, energy release’ dan kesan sentuh serta persekitaran terhadap perkembangan bayi.

Salah satu ciri syurga ialah “Isteri bermata JELI” (sekarang ni banyak mermata JEGEH) dan “anak yang belum disentuh manusia”. Jadi sentuhan dan suara ibu yang tenang sebelum ia mumayyiz menjadi penentu perkembangan awal anak yang akan menentukan samada warga syurga atau neraka yang akan mengisi rumah kita. Fikirkan contoh ibu terhebat atas mukabumi, Asiah isteri Firaun yang memelihara Musa a.s.. Usaha ibu inilah yang dengan izin Allah menumbangkan durjana Firaun suaminya sendiri. Jadi jangan komplain sangat tentang suami yang tidak macam Ibrahim a.s. semua contoh Allah sudah bagi. Asalkan jangan jadi macam Isteri Nabi Noh sudahlah.

Nantikan banyak lagi tips yang berkaitan dengan perkembangan awal bayi yang terhimpun di takungan telaga kami. Tak boleh bagi banyak-banyak nanti anda tercekik atau membazir terbuang ke lantai. Penat saja kami hidangkan. Sementara anda semua mengejar yang besar-besar, kami mengalah meneliti aspek kecil dan remeh serta banyak dilupakan ini. Semuga usaha kami serba sedikit dapat membantu anda.

Kami ambil inisiatif bertahun-tahun, siang malam bekerja keras dan guna infak sesama sendiri untuk membuat R&D. Kami kongsikan hasilnya tanda kami sayangkan anda. Anda tidak dipaksa membaca oleh kami maupun rakan yang tag atau share, jauh sekali memaksa untuk melaksanakannya.

Ingatlah bagi kaum ibu yang mengkomen macam orang kena sawan, jangan ingat anda boleh terlepas dari neraka dunia, ‘the living hell’ (di akhirat kita tak tau lagi, yang jelas neraka duni adalah TIKET ke Neraka yang satu lagi). Kalau di publik pun bahasa anda sudah begitu, kami boleh bayangkan bahasa anda pada anak dan suami. ‘What goes around comes around’.

Menimba ilmu harus TENANG, dengan ilmu juga kita jadi TENANG, syurga itu dihuni oleh orang yang juga TENANG. Ibu yang TENANG itu bermata JELI. Jika anda bermata JEGEH, itu TANDA anda tidak TENANG dan tidak boleh masuk SYURGA kami. Jadi hentikan komen berapi dan tidak beradab di publik, kami tidak teragak-agak ‘remove atau ban’ jika adab ini tidak dipatuhi. Anda tidak tahu sebenarnya ramai sekali NonMuslim yang ikut meneliti page kami. Mereka komen di inbox kami dan sangat bersopan sekali.

Inilah salah satu kaedah Nabi s.a.w. mengenal tanda ahli SYURGA ataupun ahli NERAKA. Melalui falsafah kekeluargaan berpedomankan ukuran RUMAHKU SYURGAKU, ‘the living heaven’.

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Sirap sedap terbongkar!

Rumahku wangi..syurgaku..