Im In Love With Him


Dan Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang termulia” – surah al-Qalam: 4.
Itulah gambaran al-Quran tentang peribadi Rasulullah SAW secara umum, yang membawa mesej dari Tuhan untuk membentuk akhlak ummah secara fokus melalui pendekatan latihan fizikal (ibadah) dan latihan kerohanian (iman). Rasulullah SAW berkata:
sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”. (Malik)

Tugas utama Rasulullah SAW adalah membentuk akhlak ummah ke arah yang lebih mulia. Baginda adalah suruhan Allah swt yang paling sesuai untuk membentuk pekerti manusia dengan membawa watak sebagai manusia yang sama dari segi fizikal dan bukan dari kalangan malaikat atau selainnya. Walaupun fizikal Rasulullah SAW mempunyai persamaan dengan manusia yang lain tetapi Allah memberi kelebihan akhlak mulia yang dimilikinya untuk menjadi ikutan kepada ummah.

Akhlak Rasulullah SAW adalah asuhan secara terus dari langit. Allah telah membersihkan Rasulullah SAW dari sebarang kekotoran yang boleh merosakkan utusanNya itu menjadi yang terbaik semenjak dari kecil sehingga ianya bertemu Jibril AS. Jibril pula mengasuh pekerti Rasulullah SAW dengan wahyu Ilahi (al-Quran) sebagaimana yang diceritakan oleh Saiditina ‘Aisyah RA apabila ditanya tentang akhlak Rasulullah, jawabnya “Akhlak Rasulullah adalah al-Quran”.

Akhlak Rasulullah SAW adalah al-Quran membawa maksud, Rasulullah SAW bukan hanya pandai mengajar orang lain dan tidak mengamalkan apa yang diajar bahkan Rasulullah SAW sendiri mengamalkan apa yang disebutnya dari al-Quran.

Rasulullah SAW mengajar tentang akhlak dan kita patut mempelajarinya. Rasulullah mengajar bahawa akhlak lebih penting dari ibadah, malah antara tujuan ibadah adalah untuk membentuk akhlak. Solat, zakat, puasa dan haji dari segi intipati dan hikmahnya adalah untuk membentuk akhlak.

Bagaimana akhlak Rasulullah SAW ketika bersama sahabat-sahabatnya dan masyarakat sekelilingnya sepatutnya diteladani. Ukhuwaah Islamiah yang ditunjukkan itu amat menabjubkan sehingga dapat menyatukan muhajirin dan ansar bahkan si ansar sanggup menceraikan salah seorang isteri yang lebih muda antara dua isterinya yang disayangi untuk dinikahkan dengan si muhajirin. Rasulullah disayangi, dihormati dan disegani dengan sebab rahmat dari Ilahi. Rasulullah SAW adalah rahmat dari Allah kepada seluruh alam (rahmatan lil alamin)

Sebagaimana Rasulullah SAW mencintai kita, kita dituntut mencintai Rasulullah SAW. Pernah di akhir hayatnya, dia bertanya kepada Jibril;

Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?"

"Jangan khawatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril AS.

Antara sebutan terakhir yang terpacul dimulutnya “ummatku… ummatku …solat… solat…”. Jika kita sedar, bahawa betapa nama kita semua disebut 1430 tahun yang lalu oleh seorang yang benar-benar mencintai kita apa tindak balas dari segi perasaan dan kelakuan. Adakah ucapan 1430 tahun itu berlalu begitu sahaja di hadapanmu tanpa sedikit perasaan? Tindakan?

Mencintai Rasulullah SAW adalah wajib dan menjadi syarat kesempurnaan iman sebagaimana hadis ketika Saidina Abu Bakar menyatakan;

“aku mencintai dirimu wahai Rasulullah sebagaimana aku mencintai diriku”.

Berkata Nabi SAW, “belum lagi (beriman)”. Lantas diubah dengan segera dengan berkata, “aku mencintai Rasulullah SAW lebih dari diriku, keluargaku, anak-anakku…”.

“Sekarang (baru beriman)”, jawab Nabi SAW.

Sesiapa yang dalam kehidupannya hanya mempunyai kepentingan untuk diri sendiri melebihi kepentingan terhadap Nabi SAW adalah dinafikan imannya. Itulah ukuran dan kesimpulan hadis itu.

Oleh yang demikian adalah amat perlu untuk kita mengenali Rasulullah SAW lebih dari kita mengenali diri sendiri. Mana mungkin dapat mencintai seseorang melebihi diri sendiri selagi tidak mengenali dia melebihi dari mengenal diri sendiri. Maka amat perlu mengenali Nabi SAW dengan lebih jelas untuk membangkitkan cinta terhadap junjungan kita, Rasulullah SAW. (Bak kata pepatah: Tak kenal maka tak cinta).

Namun, Ketahuilah bahawa cinta sahaja tidak memadai. Manusia tidak boleh hidup hanya berbekalkan cinta. Ada syarat lain yang boleh mencapai cinta dan iman.

Orang yang mengelilingi Nabi SAW terdiri dari empat jenis. Pertama ialah orang yang sayang kepada Nabi tapi tidak ikut seperti Abu Talib, bapa saudaranya sendiri. Kedua, orang yang tidak sayang tapi mereka ikut Nabi SAW dalam banyak perkara seperti yang dilakukan oleh munafiqun yang diketuai oleh Abdullah bin Ubay. Ketiga, orang yang tidak sayang dan tidak pula ikut seperti kaum musyrikin Quraisy dan Kaum Yahudi Madinah. Hanya yang ke empat sahaja yang boleh diiktiraf sebagai pencinta dan ummat Muhammad SAW. Mereka mencintai Nabi SAW dan mengikut sunnahnya, seperti Ali, Abu Bakar, Umar, Uthman, Zaid, Bilal dan lain-lain. Memang… cinta perlu disusuli dengan pembuktian kecintaan iaitu perlu meneladani sunnahnya, akur dengan petunjuk-petunjuk yang diberikan olehnya. Itulah namanya cinta agung.

Disaksikan dalam sirah bahawa kecintaan sahabat-sahabat terhadap Rasulullah SAW adalah melebihi diri mereka sendiri. Mereka adalah pembela Nabi SAW ketika baginda memerlukan pembelaan, mereka menolong Nabi ketika baginda memerlukan pertolongan, mereka mengelilingi Nabi ketika baginda memperdengarkan wahyu dan pengajaran, mereka menuruti perintah Nabi ketika baginda mengeluarkan arahan. Mereka sanggup berkorban bersama-sama Nabi dalam peperangan mempertahankan agama Islam.

Setiap kata-kata Nabi dihayati dengan penuh penghayatan. Setiap tindak tanduk Nabi menjadi inspirasi dan peransang. Ketika bersama Nabi mereka beroleh keimanan. Ketika berjauhan mereka bagai kerinduan lantas mereka berkejaran mendapatkan Nabi sebagai sahabat dan teman. Bagi mereka, Nabi amat memotivasikan dalam setiap tindakan. Baginda memaafkan dan memohon kemaafan kepada ummatnya atas kesalahan-kesalahan.

Cuba perhalusi tingkah Nabi SAW terhadap bapa saudaranya Abu Jahal yang sentiasa mencari jalan untuk menyakiti Nabi SAW. Pada suatu ketika, Abu Jahal menggali lubang di depan pintu rumahnya bertujuan untuk memerangkap Nabi SAW. Dibentangkannya tikar di atas lubang tersebut.

“Katakan kepada Muhammad, bahawa aku sedang sakit dan suruh dia datang menziarahiku”, perintah Abu Jahal kepada seorang hambanya.

Demi mendengar bahawa bapa saudaranya sakit, baginda segera pergi menziarahinya. Sesampai sahaja di pintu, Malaikat datang membisikkan bahawa Abu Jahal sedang berpura-pura sakit dan sedang memasang perangkap. Lalu malaikat memerintahkan supaya berpaling dan terus balik tanpa mempedulikan Abu Jahal.

Bayangkan betapa sakitnya hati Abu Jahal diperlakukan oleh anak saudaranya. “Wahai Muhammad, aku sedang sakit dan kamu nak tinggalkan aku”, jerit Abu Jahal. Padahal Nabi SAW sudah diberitahu niat disebaliknya.

Kerana terlampau geram Abu Jahal datang mengejar Nabi SAW dan terlupa perangkap yang dipasangnya sendiri. Abu Jahal terus terjatuh dalam lubang dan tidak dapat dikeluarkan walaupun dengan bantuan hamba-hambanya. Ketika itu dia mula memanggil nama Muhammad. “tolonglah kamu panggil Muhammad, minta dia keluarkan aku”, rintihnya.

Seolah-olah Nabi SAW melupakan segala kejahatan Abu Jahal pada kali pertama tadi ketika baginda dipanggil buat kali kedua untuk menziarahi bapa saudaranya. Ajaib! Itulah sifat pemaaf Nabi SAW.

Nabi SAW menarik badan bapa saudaranya dan berjaya mengeluarkannya dari lubang. Tak kala dikeluarkan, Abu Jahal membalas budi Nabi SAW dengan mengatakan; “lihatlah, ini dia sihir Muhammad…”.

Ketika itulah Nabi berpaling dan terus meninggalkan bapa saudaranya yang sedang mengatakan yang bukan-bukan. Padahal, ketika lahirnya Nabi, Abu Jahal adalah antara orang yang gembira dan menyambutnya dengan meriah, dengan mengadakan kenduri dan sebagainya.


Ramai dari kalangan ummat kini yang hanya mementingkan pesta peringatan Nabi SAW tanpa menghayati cinta Nabi SAW. Dan ramai yang mengaku mencintai Nabi tetapi tidak mengikuti sunnahnya. Ramai juga yang seakan-akan mengikut sunnahnya tetapi tidak mencintainya. Amat malang mereka itu semua.

Termaktub dalam khutbah Rasulullah yang terakhir ; “aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan sesat selama-lamanya sekiranya kamu berpegang kepada kedua-duanya; kitab Allah dan sunnahku”. “berpegang teguhlah kepada kedua-duanya… gigitlah dengan gigi gerahammu”.

Berselawatlah kepada Rasulullah SAW sesungguhnya selawat itu mencerminkan cinta kita kepada Rasulullah seperti yang terdapat dalam peristiwa ‘Aisyah bersama Rasulullah SAW.

Suatu ketika di malam yang gelap ‘Aisyah tercari-cari jarum yang jatuh. Lalu Rasulullah SAW masuk ke dalam rumah. Betapa bercahayanya wajah Rasulullah SAW sehingga jarum yang jatuh itu dapat dilihat oleh ‘Aisyah lalu dia dapat mengutipnya. Berkata ‘Aisyah, “betapa bercahayanya wajahmu wahai Rasulullah, siapakah nanti yang tidak akan dapat melihat wajahmu ini di hari akhirat”. Jawab Nabi Muhammad SAW, “orang yang tidak dapat melihat wajahku adalah orang yang sombong terhadapku”. Tanya ‘Aisyah, “siapakah yang sombong terhadapmu ya Rasulallah?”. Jawab Nabi Muhammad SAW, “orang yang mendengar namaku disebut dan dia tidak mengiringinya dengan berselawat kepadaku, itulah orang yang sombong kepadaku”.

Atas nama Allah dan RasulNya, marilah sama-sama melakukan amalan-amalan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mendekatkan diri kepada Rasulullah SAW. Mencintai sesuatu yang boleh mendekatkan dengan cinta Allah dan cinta Rasulullah. Lakukanlah apa yang dicintai Allah dan dicintai Rasulullah. Pelajari sifat Yang Maha Pengasih dan Yang Maha Penyayang agar menjadi seorang yang pengasih dan penyayang. Teladani sifat Rasulullah SAW yang amat mulia agar tidak terkeluar dari lingkungan orang yang akan menerima syafaatnya. Jadilah sahabat Rasulullah yang tidak sempat hidup bersamanya namun sempat menghidupkan sunnahnya. Tanamkan dalam hati bahawa Rasulullah SAW masih hidup… dan sedang mengajar apa yang kita tidak tahu, menyelesaikan persoalan dengan kata-katanya, kerana bahawa sunnahnya takkan mati… akan hidup selamanya.

sumber

in love with him by roselangkawi

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Sirap sedap terbongkar!

Rumahku wangi..syurgaku..