5 Racun dan Penawarnya


Assalamualaikum. Hari jumaat adalah hari paling mulia di antara hari-hari yang lain. Alangkah indahnya hari ini kan? Banyak keberkatan dan kemuliaan yang ada pada hari yang begitu mulia ini.

Artikel ini adalah sebagai tazkirah untuk hari jumaat yang begitu mulia ini. Dalam hidup kita ini ada 5 jenis racun yang boleh merosakkan kehidupan manusia di dunia dan juga hari akhirat. 5 jenis racun ini perlu di ubati dengan 5 jenis penawar juga. Sama-samalah kita mengubati 5 racun yang ada dalam diri kita yang bernama manusia.

1. Dunia ini adalah racun. Kenapa dunia ini adalah racun? Ini kerana saya dapat lihat, malah anda juga mungkin melihat dunia ini mampu membawa banyak kerosakan kepada umat manusia. Manusia telah lalai dengan kenikmatan yang ada di dunia ini. Manusia telah menjadi hamba dunia dan lupa kepada Allah dan hari akhirat. Itulah yang sebenarnya berlaku kepada manusia sejak dahulu lagi.

Zuhud itu penawarnya. Zuhud bermaksud kita menguasai kehidupan dunia tapi dunia tidak mengusai kehidupan kita. Kita tidak salah untuk hidup memiliki kekayaan dan kejayaan dunia kerana umat islam juga perlu memajukan diri, bangsa dan agama tanpa melupakan hari akhirat.

2. Harta itu racun. Harta kekayaan telah menyebabkan ramai manusia hanyut dengannya. Memiliki harta yang banyak telah menyebabkan seorang manusia lupa untuk beribadat kepada Allah. Harta juga menyebabkan seorang manusia itu sombong dengan orang lain. Bukan semua orang begitu tapi hanya berlaku kepada segelintir mereka yang tidak bersyukur.

Zakat itu adalah ubatnya. Perintah mengeluarkan zakat adalah termasuk dalam rukun islam yang lima. Firman Allah maksudnya:

“Ambilah sebahagian daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), dengan itu kamu membersihkan mereka (daripada dosa) dan menyucikan mereka (daripada akhlak buruk)”

(Surah At-Taubah: Ayat 103)

3. Perkataan yang sia-sia itu racun. Apabila seseorang itu banyak bercakap, jika tidak dikawal percakapannya itu maka akan banyaklah keluar perkataan yang sia-sia dari mulutnya. Dengan itu banyaklah dosa yang keluar dari mulutnya itu. Sebab itu diam adalah lebih baik dari banyak berkata-kata yang sia-sia.

Zikir itu ubatnya. Jika lidah sentiasa dibasahi dengan zikir ia dapat membersihkan hati manusia supaya sentiasa mengingati Allah. Zikir juga dapat memberi ketenangan kepada orang yang banyak menyebutnya. Orang yang banyak berzikir juga akan mendapat ganjaran pahala dari Allah.

4. Seluruh umur itu racun. Umur seorang manusia hanya sekejap saja tidak lama mana pun. Jika semasa umur seseorang itu hidup di dunia ini banyak dihabiskan dengan perkara yang sia-sia maka akan rugilah dia. Janganlah umur dihabiskan dengan melakukan kemaksiatan kepada Allah.

Taat itu adalah ubatnya. Umur manusia yang ada hendaklah dihabiskan dengan banyak melakukan amal ibadat kepada Allah. Sebagai seorang hamba yang beriman kita perlu taat kepada perintah Allah dan meninggalkan laranganNya.

5. Seluruh tahun itu racun. Sepanjang tahun banyak perkara yang telah kita lakukan dalam kehidupan seharian. Sama ada baik dan buruk hanya diri kita sendiri yang mengetahuinya.

Ramadhan itu ubatnya. Bulan Ramadhan adalah bulan rahmat dan keampunan. Pada bulan ini segala dosa-dosa akan diampunkan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang bertakwa. Ambillah keberkatan yang ada pada bulan ini untuk membersihkan diri kita dari segala dosa-dosa yang telah dilakukan.

Semoga dengan perkongsian ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada diri kita semua. Berhati-hatilah dengan 5 jenis racun ini kerana jika tersilap ia boleh membinasakan diri kita. Apa yang baik itu datang daripada Allah dan apa yang kurang itu adalah datang dari kelemahan diri saya sendiri.

sumber

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Sirap sedap terbongkar!

Rumahku wangi..syurgaku..