Jiwa Seorang Lelaki


Saya adalah seorang profesional yang telah berumah tangga dan mempunyai lima orang anak, tiga lelaki dan dua perempuan. Perkahwinan saya diatur oleh kawan dan dipersetujui oleh ibu saya. Sebelum saya memilih bakal isteri, saya telah memberikan beberapa spesifikasi kepada emak saya untuk memilih calon menantu yang menyebabkan emak saya jadi bingung. Antara syaratnya gadis itu tidak berkaca mata, rambut lurus dan panjang dan yang paling penting mestilah muda daripada saya sekurang-kurangnya enam tahun dan lebih utama tidak bekerja.


Perbezaan umur begitu penting bagi saya supaya isteri saya menghormati saya kerana saya lebih tua. Kedua, supaya mendapat persetujuan ibu saya sendiri agar tidak jadi masalah kemudian hari antara hubungan mereka sebab ibu sendiri dah setuju.


Saya memang bernasib baik sebab kedua-dua ibu bapa mertua saya sangat baik hati dan mempunyai didikan agama. Masa meminang dulu oleh kerana saya tiada mempunyai bapa dan ibu saya pun jenis tak kisah maka perbincangan mas kahwin dan hantaran saya pergi berbincang sendiri bersama rombongan. Masa tu bapa mertua saya beritahu mas kahwin cuma RM150 dan hantaran tak perlu.


Terkejut saya bila tak ada hantaran, bila saya tanya mengapa, bapa mertua saya jawab tidak perlulah. Oleh kerana masa untuk saya berlepas ke UK hendak sambung belajar cuma tinggal dua minggu sahaja, maka kenduri kahwin pun diadakan serba ringkas, cuma jemput rakan dan saudara terdekat saja. Oleh kerana saya bawa isteri bersama ke UK, semasa di airport saya beri peluang isteri saya berbicara dengan ayahnya sementara saya melayan sahabat handai yang lain.

Masa dalam kapal terbang saya tanya isteri saya apa yang dibicarakan dengan ayahnya? Isteri saya jawab ayahnya memberi beberapa pesanan sehingga menitiskan air matanya. Antaranya ialah: mesti utamakan keluarga suami dahulu dan keluarga sendiri sudah jadi nombor dua, mesti siapkan makanan suami dengan baik sebelum suami keluar. Jangan lawan suami dan hormatilah mertua. Apa-apa hajat dan keperluan mesti mendapat izin suami. Saya rasa amat bernasib baik kerana ayah mertua saya memberi penjelasan yang baik. Sekarang saya merasakan perkara yang sama akan saya lafazkan kepada anak perempuan saya apabila dia berkahwin nanti.


Sebenarnya isteri saya ni seorang `hafizah' (hafaz quran). Dan saya bersyukur sehingga sekarang tiada suatu pun yang menjadi masalah dalam hidup saya. Pertama kerana dia seorang isteri yang taat. Hinggakan dia boleh membaca gerak hati saya tentang apa juga pun.


Oleh kerana saya pandai memasak, maka sayalah yang ajar dia memasak dan ibu saya pun selalu berpesan kalau isteri tak pandai masak ajar dia, jangan marahkan dia.Sekarang alhamdulillah dia dah pandai memasak.


Semasa dia melahirkan anak yang pertama di UK, sayalah yang buat segala persediaan daripada membuat selimut hinggalah tilam dan bantal semua saya buat sendiri, hingga kawan-kawannya hairan dengan kebolehan saya. Saya juga selalu berkata kepada isteri bahawa tiada perkataan tiada masa dalam hidup. Hanya dua perkara, iaitu sama ada kita malas atau rajin.


Sebagai suami banyak tugas rumah yang saya buat yang jarang dipikul oleh suami-suami yang lain. Segala urusan membeli-belah, ke pasar, perhiasan dan kelengkapan rumah saya beli dan tentukan sendiri hatta pakaian isteri dan anak-anak. Pernah juga orang rasa pelik bagaimana isteri saya dapat menerima segala pakaian yang saya beli, jawapan isteri saya ialah dia memakai pakaian adalah untuk menyukakan suami dan apa yang saya suka pasti dia akan suka.


Isteri saya di rumah cuma bertanggungjawab untuk menjaga rumah dan makan minum keluarga. Dan dia jenis yang tak suka berjalan, kecuali ziarah ke rumah kawan-kawan dan saudara-mara.


Sebenarnya hati lelaki adalah lembut jikalau wanita tahu memainkan peranan yang baik di dalam urusan rumah tangga atau keluarga. Tanyalah pada semua lelaki apakah yang dikehendaki oleh para suami? Hanya tiga perkataan sahaja iaitusifat `taat dan hormat.' Di sini saya ingin senaraikan apakah perkara yang diingini oleh suami daripada seorang isteri atau bagaimana menjaga hati suami.


Mungkin ramai isteri menganggapnya sebagai remeh tapi percayalah bahawa perkara yang remeh inilah yang akan membawa kepada masalah yang besar. Sebab semua orang inginkan kepada benda yang cantik dan baru. Biarpun barang lama tetapi jikalau dijaga dan dihias dengan sebaiknya maka akan lebih berharga lagi.Percayalah sesungguhnya dunia luar amat mencabar dan mungkin ramai suami membuat perbandingan apa yang ada di rumah dan apa yang berlegar di luar.
Di sini saya turunkan beberapa panduan untuk kaum wanita kaji diri sendiri :

Sentiasa berpakaian kemas dan bersih sepanjang masa di rumah. Hindari memakai T-shirt dan kain batik. Ramai wanita cuma berpakaian cantik bila ke pejabat atau bersiar-siar. Cuba kita tanya diri sendiri, pakaian yang cantik untuk suami atau untuk orang lain? Tidak dinafikan ramai isteri selalu memberi alasan susah untuk berkemas dan memasak. Tetapi cuba bandingkan apabila seseorang itu bekerja di restoran dan di pejabat bukankah tidak ada perbezaan langsung.


Pernah saya ajukan perkara ini kepada kakak-kakak saya dan rakan sepejabat, tetapi semuanya tidak bersetuju. Kalau kita amati lagu Tiru macam saya nyanyian allahyarham Saloma, bait-bait lirik lagu ini begitu sinis sekali pada kaum wanita. Ramai isteri anggap mudah. Tapi lagu itu sindiran kepada mereka.


Satu lagi bangun dan mandi pada awal pagi sebelum suami bangun. Supaya suami merasa senang melihat wajah isteri bila bangun tidur. Dan tunjukkan minat dan keinginan kepada minat suami. Selagi suami mempunyai minat yang tidak bertentangan dengan agama maka selagi itulah isteri perlu memberi sokongan dan galakan. Jangan memperlekehkan minat suami.


Hidangkan makanan yang dimasak sendiri, elakkan daripada membeli makanan di kedai. Cuba tarik perhatian suami dengan pelbagai masakan dan juadah supaya suami sentiasa memuji kebolehan isteri. Sifat ini juga mendorong suami lebih suka duduk di rumah daripada menghabiskan masa di luar.


Isteri juga mesti mentaati suami dan elakkan melawan atau bersifat kurang hormat kepada suami. Rumah tangga perlu dibina seperti syurga yang bahagia dan penuh dengan kenikmatan. Malah isteri juga perlu sama-sama memikul tanggungjawab untuk rela berkorban bersama-sama hatta harta dan nyawa.


Amalkan sikap berterus terang kepada suami dan elakkan perasaan syak wasangka. Segala masalah hendaklah bemuzakarah dengan suami dengan penuh hikmah. Dan setiap perbincangan mesti dilaksanakan pada waktu yang sesuai. Janganlah berbincang sesuatu masalah ketika suami dalam keadaan letih atau tidak tenteram melainkan berita-berita yang menggembirakan.


Jangan meleteri anak-anak di hadapan suami terutama sekali apabila suami baru pulang dari kerja. Bagi wanita yang bekerja beri masa mendampingi anak-anak. Apa yang saya kesalkan ada sesetengah wanita kawan pejabat sayalah mendakwa dia lebih suka berada di pejabat daripada di rumah kerana malas hendak layan kerenah anak-anak. Pada saya ini satu sikap yang cukup buruk jika wanita amalkan.

Jika terasa bersalah tentang tingkah laku cepat-cepat meminta maaf dan jauhilah sifat merajuk serta bermasam muka pada suami. Dan nasihat saya lagi jangan serahkan tugas mengurus suami kepada orang gaji. Banyak masalahnya kemudian hari. Isteri mesti tahu tugas sendiri dan tugas pembantu rumah. Sebab kalau tersilap langkah jangan marahkan suami bila jatuh cinta dengan pembantu rumah.

…….the end

sumber:ummu ammar

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Sirap sedap terbongkar!

Rumahku wangi..syurgaku..