Buah Cinta Rasulullah : Saidatina Aisyah

Ilustrasi sekadar hiasan

Selepas berkahwin dengan Nabi Muhammad s.a.w, Aisyah tetap tinggal bersama keluarganya selama tiga tahun, di Mekah selama dua tahun tiga bulan dan tujuh bulan lagi di Madinah. Di Madinah, beliau dan keluarga tinggal di perkampungan bani Hariths bin Khazraj. Pada masa itu Madinah dilanda wabak penyakit. Iklim Madinah yang panas dan kering tidak sesuai dengan kaum muhajirin yang menyebabkan ramai di antara mereka yang jatuh sakit, termasuklah Aisyah. Penyakit yang menyerang Aisyah itu sangat berat sehingga rambutnya berguguran. Imam Bukhari mencatatkan kata-kata Aisyah “ Setibanya saya di Madinah, saya jatuh sakit selama sebulan. Habis rambut saya gugur. Setelah sembuh, rambut saya tubuh dengan lebat sekali”. Selepas sembuh, Aisyah dididik dan dipersiapkan bagi menjalani hidup berumah tangga.

Abu Bakar bertanya kepada Rasulullah, “Wahai pesuruh Allah, mengapa tuan tidak mengajak Aisyah tinggal bersama?”

“Aku tidak memiliki mahar,” jawab baginda.

Mendengarkan jawapan itu, Abu Bakar segera memberikan harta berjumlah 12 uqiyyah dan 1 nasy kepada Nabi Muhammad. Selesai sahaja mahar Aisyah dibayar, Aisyah dibawa tinggal di rumah Nabi Muhammad bagi menjalani hidup berumahtangga.

Di sini dapat dilihat bahawa mahar bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan. Allah mewajibkan suami memberi mahar kepada isteri sebagai satu bentuk penghormatan kepadanya.

“ Pesuruh Allah berkahwin dengan saya semasa saya berusia enam tahun. Kami hidup bersama sesudah saya berusia sembilan tahun. Pada masa itu saya sudah berada di Madinah. Pada suatu hari, sedang saya asyik bermain buaian dengan teman-teman, ibu memanggil saya pulang. Saya tidak mengetahui mengapa saya disuruh pulang. Saya lekas-lekas dibawa menuju ke pintu rumah hingga nafas saya tercungap-cungap. Selepas saya tenang, saya pun melangkah masuk ke rumah. Saya lihat ramai perempuan Ansar berkumpul di situ. Mereka berkata “ Semoga saudari mendapat kebaikan, hidup diberkati dan sentiasa bertuah”. Ibu meminta mereka mendandan rambut dan menghias saya. Tiba-tiba Nabi Muhammad masuk ke bilik saya dan saya sangat terkejut. Semua perempuan yang ada di situ menyerahkan saya kepada baginda.”

Asma’ binti Yazid menceritakan, “Sayalah yang menghias Aisyah dan menyerahkannya kepada Nabi Muhammad. Hidangan yang dijamu kepada Rasulullah pada waktu itu hanyalah segelas susu. Baginda meminum sedikit susu itu dan selebihnya diberikan kepada Aisyah. Aisyah tersipu-sipu malu untuk menerimanya. Saya berkata kepada Aisyah “ Terimalah pemberian Nabi Allah itu” lalu Aisyah pun mengambil susu itu dan meminumnya. Kemudian, Rasulullah berkata kepada saya “ Berikanlah susu ini kepada temanmu”. Saya menjawab “Kami tidak mahukannya”. Baginda berkata “ Jangan kamu tambah rasa lapar dengan dusta.” Saya pun bertanya, ” Wahai pesuruh Allah, adakah kami dikira berdusta jika kami nyatakan kami tidak sukakan sesuatu tetapi sebenarnya kami sukakannya?.” Baginda menjawab, ”Setiap dusta akan ditulis sebagai dusta. Begitu juga dusta kecil. Ia akan ditulis sebagai dusta kecil.”

Nabi Muhammad dan Aisyah tinggal di dalam rumah yang kecil yang terletak di sebelah timur Masjid Nabawi. Pintu rumah mereka terletak di dalam masjid yang menjadikan Masjid Nabawi seakan-akan serambi rumah mereka. Luasnya pula kira-kira enam hasta. Dindingnya diperbuat daripada pelepah daun kurma dan atap rumah itu rendah sehinggakan kepala setiap orang yang berdiri pasti menyentuh atap. Rumah Nabi Muhammad adalah sumber

cahaya daripada Allah, menerangi seluruh pelusuk alam. Namun, rumah itu tidak mempunyai walau sebiji lampu. Aisyah berkata, “ Kami pernah bergelap selama 40 malam, tiada sebiji lampu mahupun pelita di rumah”

Nabi Muhammad dan Aisyah serta isteri-isteri baginda yang lain tidak begitu mementingkan rumah yang selesa. Bukan kekayaan mahupun harta benda yang mereka harapkan. Aisyah pernah berkata “ Keluarga Nabi Muhammad tidak pernah memakan roti gandum berlauk tiga hari berturut-turut hinggalah baginda meninggal dunia”.

Rasulullah sering berkata,” Jika manusia memiliki harta yang memenuhi dua lembah, dia akan mencari harta lain yang dapat memenuhi lembah ketiga. Mulut manusia hanya layak disumbat dengan debu. Padahal harta itu hanya diberikan Allah kepada manusia supaya manusia melakukan sembahyang serta menunaikan zakat. Dan Allah akan mengampunkan sesiapa sahaja yang bertaubat.”

Selepas Perang Khaibar tamat, Rasulullah s.a.w mahu peruntukan makanan diberikan kepada isteri-isteri baginda. Peruntukan tahunan itu berupa 80 wasq kurma dan 20 wasq gandum. Sungguhpun peruntukan makanan itu agak banyak, namun makanan itu tidak pernah bertahan sehingga setahun kerana kesemua isteri baginda sangat pemurah dan suka bersedekah kepada yang lebih memerlukan.

Ada masanya, Nabi Muhammad datang ke rumah Aisyah dan bertanya, “Adakah sesuatu yang saya boleh makan pagi ini?”

“Kita tidak ada apa-apa yang boleh dimakan”

“Kalau begitu, saya berpuasa hari ini”.

Bukhari dan Muslim merakamkan, “Aisyah diakui berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang dan budaya. Beliau memang cerdas serta mempunyai daya pemahaman yang hebat. Namun sebagai manusia biasa, Aisyah tidak terlepas daripada melakukan kesilapan terutamanya semasa beliau masih muda. Ada suatu ketika, beliau menguli tepung untuk dibuat roti di rumahnya. Oleh sebab terlalu letih, beliau terlelap sebentar. Seekor kambing masuk ke rumahnya lalu melarikan adunan yang diulinya tadi”.

Abu Dawud dan Nasa’I mencatatkan, “Aisyah tidak pandai memasak berbanding isteri-isteri Rasulullah yang lain”.

Nabi Muhammad sangat mencintai Aisyah dan ini bukan rahsia lagi. Hal ini diketahui oleh para sahabat. Sekiranya mereka bercadang memberikan sesuatu kepada Nabi Muhammad, mereka akan memilih untuk memberinya pada hari semasa baginda bersama Aisyah.

Sudah tentulah isteri-isteri baginda yang lain mencemburui Aisyah. Rasa cemburu ini merupakan lumrah dalam rumahtangga. Mereka mengutuskan Ummu Salamah untuk menemui Rasulullah bagi menyampaikan isi hati mereka.

Nabi Muhammad berkata kepadanya, “ Janganlah kamu ganggu saya dalam urusan Aisyah. Sungguh, wahyu tidak pernah turun semasa saya berada dalam selimut salah seorang daripada kamu selain Aisyah.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan Nasa’i)

Amru bin Asr pernah bertanya kepada Rasulullah, ” Siapakah yang tuan paling cintai wahai pesuruh Allah?”

“Aisyah”

“Yang lelakinya?”

“Bapanya, Abu Bakar”

Pada suatu hari, Nabi Muhammad menerima hadiah dan salah satu daripada hadiah itu adalah seutas rantai manik. Baginda berkata,” Aku akan berikan rantai ini kepada salah seorang ahli keluargaku yang paling aku cintai”.

Para isteri baginda mengagak bahawa rantai itu akan diberikan kepada Aisyah. Tetapi, rasa cinta Rasulullah kepada Aisyah bukan ditunjukkan dengan memberi barang perhiasan. Lalu baginda memanggil Umamah, cucu baginda lalu memakaikan rantai itu ke lehernya”. (Hadis dicatat oleh Ahmad)

Ramai berpendapat Nabi Muhammad mencintai Aisyah kerana kecantikan luarannya sahaja. Namun pendapat ini ternyata tidak benar kerana isteri-isteri baginda yang lain seperti Zainab, Juwairiyah dan Safiyah juga tidak kurang cantiknya. Sebenarnya, kisah kecantikan isteri-isteri baginda yang lain banyak diceritakan dalam hadis serta sejarah. Namun, kecantikan Aisyah sangat kurang disebut.

Nabi Muhammad pernah berkata,

“ Dikahwini perempuan itu kerana empat perkara. Kekayaan, keturunan yang baik, kecantikan dan agamanya. Pilihlah perempuan yang baik agamanya dan kamu pasti beruntung”.

Berdasarkan hadis di atas, dapat ditafsirkan bahawa isteri yang paling baginda cintai adalah isteri yang dapat memberi kebaikan kepada agama dan dakwah islam.

“Dan tidak memperkatakan (sesuatu berhubung dengan Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu ( sama ada Quran ataupun hadis ) tidak lain hanyalah wahu yang diturunkan kepadanya”. ( an-Najm : 3-4 )

Ayat di atas menegaskan bahawa cinta Rasulullah kepada Aisyah adalah wahyu dari Allah, bukan atas dasar nafsu semata-mata.

Aisyah sungguh istimewa berbanding isteri-isteri Rasulullah yang lain. Beliau berpengalaman luas dalam bidang agama seperti Quran, tafsir, hadis dan fiqh.

Hakim merekodkan, ‘Urwah pernah berkata,” Saya belum pernah berjumpa dengan orang yang pengetahuannya melebihi Aisyah, Ummul Mukminin dalam hal halal dan haram, ilmu pengetahuan, syair serta ilmu perubatan”.

Nabi Muhammad sukakan aktiviti memanah dan menunggang kuda. Baginda suka mengajak para sahabat untuk turut serta melakukannya. Kadangkala, baginda bermain lumba lari dengan Aisyah.

“Pada suatu hari, saya menemani Rasulullah dalam dalam satu perjalanannya. Pada masa itu saya masih muda dan kurus lagi. Beliau memerintahkan para sahabat berjalan mendahului kami. Kami pun berlumba lari dan saya berjaya menewaskannya. Sebagai orang yang kalah, baginda hanya mendiamkan diri dan tidak berkata apa-apa. Lama-kelamaan, usia saya meningkat dan saya bertambah gemuk. Dalam sebuah perjalanan lain, baginda mengajak saya berlumba lari selepas baginda memerintahkan para sahabat berjalan mendahului kami. Kali ini, baginda menewaskan saya. Baginda tertawa dan berkata,”Kita sudah seri”.”

Seperti wanita lain, Aisyah turut berasa cemburu apabila suami yang dikasihinya berkahwin lagi. Nabi Muhammad mempunyai lapan orang isteri selain Aisyah. Walaupun begitu, kesemua isteri baginda hidup dengan aman dan mereka tidak dengki-mengdengki antara satu sama lain. Allah memuliakan dan mengangkat darjat mereka di sisi-Nya.

Walaupun mencintai Aisyah dan isteri-isteri yang lain, namun tempat Khadijah, isteri pertama Nabi Muhammad, di hati baginda tidak dapat digantikan oleh sesiapa pun. Baginda selalu sahaja mengenang dan menyebut kebaikan yang pernah dilakukan Khadijah. Aisyah mengakui beliau cemburu dengan Khadijah. ”Hanya pujian yang terbit dari bibir Nabi Muhammad setiap kali nama Khadijah disebut. Pada suatu hari, saya tidak dapat menahan rasa cemburu saya dan terus berkata” Wahai pesuruh Allah. Mengapa tuan asyik mengenang perempuan yang sudah meninggal itu? Bukankah Allah sudah memberimu pengganti yang lebih baik?”

Nabi menjawab,” Allah tidak memberiku pengganti yang lebih baik daripada Khadijah. Dia percaya kepada Allah ketika semua orang menidakkanku. Dia mempercayaiku ketika orang menuduhku berbohong. Dia menyerahkan hartanya kepadaku ketika semua orang enggan memberi. Dan daripadanya Allah memberiku zuriat, sesuatu yang tidak Dia anugerahkan kepadaku daripada isteri-isteriku yang lain.”

bersambung….

http://korea.amirnet.org/2010/11/09/saidatina-aisyah-part-2-alam-rumahtangga/

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Sirap sedap terbongkar!

Rumahku wangi..syurgaku..