Wanita Secantikmu...Part 3 (versi kerana dirimu begitu berharga)




Kaya tidak penting tetapi bukan sekali-kali miskin


Dimaksudkan oleh saya dengan kata-kata ini bahawa kekayaan itu tidak penting ialah kerana tidak semua wanita cemerlang, anggun dan pesona itu daripada golongan orang yang kaya akan tetapi tidak pernah ada wanita yang pesona itu terdiri daripada orang yang miskin meminta-minta.

Diriwayatkan oleh Fadholah ibn Ubaid ra yang menyebut beliau mendengar baginda rasulullah bersabda : “Berbahagialah mereka yang diberi hidayah Islam dan hidup dengan bercukupan dan bersederhana.” (hadis sahih riwayat tirmidzi ).

Allah swt berfirman (dengan maksudnya) :
“Jika mereka itu fuqara (miskin) maka akan dikayakan oleh Allah dari rezeki-Nya..” (An-Nur : 24).

Ya, bukanlah bermakna miskin itu bererti miskin harta dan wang ringgit tetapi bermaksud miskin jiwa dan miskin maruah. Disebutkan di dalam sejarah Islam melalui riwayat Ibnu Ishak yang ditolak oleh sebahagian ulama’ (saya bawa kisah ini kerana berkenaan dengan tajuk yang dibincangkan) mengenai kisah seorang wanita cemerlang yang masih berusia belasan tahun. Bapanya pergi berjuang, di dalam rumah cuma tinggal tabung bekas wang yang kosong.

Kemudian datanglah datuknya yang tua dan buta tetapi merungut-rungut akan sikap bapanya yang lebih pentingkan agama dan perjuangannya daripada keluarga. Apabila ditanya oleh datuk yang tua itu ketika menziarahi cucunya apakah bapa-mu meninggalkan wang dan harta ?

Lantas si gadis muda ini mengutip ketulan batu-batuan di jalanan dan dimasukkan ke dalam uncang wang sebagai konon bukti bahawa bapanya meninggalkan belanja. Mendengar bunyian tabung yang berisi dan merasa ada ketulan harta di dalamnya maka si datuk pun berasa tenang. Namun hakikatnya bapa mereka telah mendermakan seluruh hartanya di jalan Islam. (Sekiranya ada pihak yang mahu menyangkal kisah ini, tolong jangan lakukannya di sini)

Itulah Asma Binti Abu bakar radiallahuanha yang terkenal di dalam sejarah, pantang meminta-minta ! Maruah keluarga, bapanya dan perjuangan yang di dokongi keluarganya itu lebih utama daripada wang dan harta.

Miskin bermaksud lemah, tidak berdaya dan tidak berusaha untuk mengubah nasibnya kerana dia tidak mempunyai misi dan visi di dalam kehidupan, jiwanya miskin daripada kekuatan iman dan tawakkal serta keberanian untuk bangkit mengubah nasib dan masa depan hidupnya.

Wanita pesona tidaklah sama sekali miskin, mereka mungkin tiada harta tetapi pantang sekali meminta-minta. Mereka berdikari dan bersikap bersederhana dan bercukupan dengan apa yang ada serta bersabar dengan segala kekurangan dan kelemahan yang menimpa. Mereka tidaklah ghairah mengejar harta dunia seolah-olah mereka begitu terdesak dan miskin sehingga adakalanya orang-orang menyangka mereka ini merupakan wanita yang berasal daripada golongan yang kaya-raya.

Pada hari ini ramai sekali wanita yang miskin, mereka sanggup menjual tubuh badan mereka demi kemewahan dan pulangan harta dunia. Ternyata tubuh mereka boleh dibeli dengan wang ringgit dan kasih sayang mereka boleh dibeli untuk tempoh tertentu berdasarkan harga. Tawar menawar belaku dan lelaki boleh memiliki mereka dengan pulangan keseronokkan dunia.

Wanita murahan yang miskin seperti ini bukanlah wanita pesona idaman lelaki.

Jangan terkeliru !

Hari ini orang berkata artis wanita menjadi idaman dan impian semua lelaki, bohong dan dusta. Lihatah perceraian dan perpisahan saban hari yang terjadi dan menimpa para artis wanita. Bahagiakah mereka ?

Televisyen dan media mengkhayalkan kita mengenai glamour dan popular serta kekayaan dan kemewahan tetapi hakikatnya mereka hidup tidak lebih bahagia daripada kita. Seorang artis wanita hidup di dalam dilemma, ketakutan, cemburu dan resah selalu. Takut disaingi oleh artis baru yang lebih cantik, lebih popular, cemburu kepada suami yang mengahwininya kerana cantik dan glamour disebabkan kini sudah ada yang lebih glamour dan cantik daripadanya, resah selalu oleh gossip dan isu yang boleh menjatuhkan reputasinya, dilemma dan susah hati kerana setiap hari sudah berusia.

Pendek kata, mereka tidak semuanya yang menemui jalan bahagia.

Wanita yang kaya jiwanya, tenang hidupnya dan berwawasan akan menjadi cahaya dan pelita kepada lelaki. Di saat suaminya kebuntuan dia akan membantu menyinari hidup rumahtangga dengan cahaya iman, keanggunan dan kepesonaan yang tiada tandingan.

Pendek kata, mereka selalunya berakhir hidup dengan bahagia.

Kepandaian bukanlah syarat tetapi tidaklah pula bodoh

Kita sudah pun hampir menyentuh keseluruhan aspek luaran, peribadi seorang wanita pesona tetapi kali ini biarlah kita melihat pula kata-kata hikmah pesona wanita yang ke-empat ini iaitu kepandaian tidaklah menjadi syarat dan kewajipan tetapi tidaklah pula seorang wanita pesona itu bodoh yang bermaksud jahil dan tidak mengetahui apa-apa.

Allah swt berfirman (yang bermaksud) :

"Dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahwasanya Al Quran itulah yang hak dari Tuhan-mu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepadanya dan sesungguhnya Allah adalah Pemberi Petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus." (Al-Hajj : 54)

Mustahil orang yang bodoh dan jahil dapat menjadi wanita pesona, mulia dan anggun sebaliknya mereka cuma akan menjadi hamba, kuda tunggangan lelaki dan makhluk hina yang menghembuskan nafas kerana sistem pernafasan manusia berfungsi sedemikian.

Langsung tidak mengerti untuk apa, kenapa dan mengapa mereka dilahirkan ke muka bumi. Wanita pesona sebaliknya mampu berfikir dan sentiasa berfikir bagi mendapatkan maklumat dan pengetahuan terhadap perkara yang mereka tidak ketahui.

Tiada siapa dilahirkan pandai, berilmu dan disebabkan itulah kita belajar daripada kejahilan, belajar mengenal kehidupan dan menjadi pandai membezakan di antara perkara yang benar dan salah.

Mereka rajin belajar dan gigih mempelajari segala jenis ilmu yang dianggapkan berguna di dalam kehidupan. Mereka suka membaca, suka mempelajari sesuatu yang baru dan tidak malas daripada berusaha mendalami pengetahuan dan pengalaman mereka.

Bermula dengan ilmu yang disifatkan teori, mereka kemudian akan beramal dengannya sehingga dapat memiliki kemahiran dan pengalaman.

Wanita istimewa, anggun dan pesona tiada yang jahil tetapi penuh informasi dan berpengetahuan.

Mungkin mereka tidak sebijak Enstain, Al-Kawarizmi dan Imam Syafie tetapi mereka pastinya tidak sebodoh haiwan yang tidak tahu untuk berubah bagi membaiki kesilapan. Mereka belajar dan terus belajar serta beramal dan mengubah kesilapan mereka menjadi pengalaman dan pengajaran.

Mereka suka menghadiri kelas dan kuliah ilmu, mereka mencintai pengajian agama dan keilmuan yang membantu dan menyumbang kebaikan di dalam kehidupan mereka dan orang lain. Buku-buku merupakan hadiah kesukaan mereka dan bahan bacaan sering menjadi tatapan mereka untuk mengetahui dunia luar dan kehidupan ini.

Mereka sentiasa ingin mengetahui tentang matlamat hidup mereka, tujuan dan perkara pokok yang perlu mereka lakukan. Ini disebabkan mereka mahu hidup mereka dapat memberi sesuatu makna, menyumbang sesuatu atau beroleh pengertian dan sebuah nilai di dalam kehidupan ini.

Wanita pesona sentiasa bermatlamat, dengan ilmu dan maklumat yang mereka miliki, digunakan untuk membetulkan kembali hala tuju dan landasan yang dilalui kerana itu kita lihat, mereka tidak pernah sesat, sentiasa mendapat pertunjuk dan hidayah, sentiasa berobjektif dan jarang membuang masa atau melakukan sesuatu dengan sia-sia.

Sungguh, kita pasti akan lihat diri mereka benar-benar berguna !


Rawatan diri mesti bermula hari ini

Kata pepatah Melayu ada menyebut, “Melentur buluh biarlah daripada rebungnya” namun hari ini ramai ibubapa tidak dapat mendidik anak-anak dengan sempurna disebabkan kerana faktor pekerjaan. Pasangan suami isteri yang sibuk bekerja telah menjadikan budaya mengupah orang gaji sebagai satu fenomena yang meluas diamalkan pada masa kini. Sejak kecil anak-anak sudah terpisah daripada susu ibu yang penuh dengan vitamin dan zat khasiat semulajadi yang digantikan dengan protein rekaan dan susu lembu berbentuk tepung.

Kasih sayang yang dahulunya terjalin melalui sentuhan, persahabatan ibubapa dengan anak kini digantikan dengan kasih wang ringgit apabila ibu dan bapa membuktikan kasih sayang mereka melalui pembelian barangan seperti mainan atau memberikan duit kepada anak-anak sebagai tanda kasih.

Anak-anak diajarkan dengan kehidupan material semenjak kecil

Bahkan sekolah yang dihadiri oleh anak-anak kita juga bukanlah tempat yang sesuai untuk melenturkan buluh tetapi sebaliknya lebih merosakkan dan menjadi tempat anak-anak kita belajar perkara yang tidak sepatutnya pula.

Tidak hairanlah gadis-gadis genit, tidak berilmu yang matang tubuh badan tetapi tidak pada umur dan usia kelihatan berkeliaran memakai seluar jeans ketat menampakkan pinggul dengan baju t-shirt yang menghairahkan berkepit di jalanan bersama remaja-remaja lelaki yang mengambil kesempatan kerana ingin mencuba keseronokkan dunia dewasa.

Mereka hanya mahu berseronok, kemudian apabila tiba saat-saat tergoda oleh nafsu syahwat maka jawapan yang sama akan diberikan iaitu mereka hanya mahu berseronok.

Keseronokkan menjadi satu budaya dan kegilaan pada hari ini iaitu semua orang ingin berseronok, persoalannya mengapa mereka mahu berseronok ? dan mengapakah mereka memilih cara yang tidak sihat dan kotor untuk berseronok ?

Jawapannya ialah kerana dunia hari ini tidak seronok.

Negara dan masyarakat tidak seronok, keluarga dan ibubapa tidak menyeronokkan dan kewujudan agama, masjid serta sistem yang ada tidak menyeronokkan.
Mengapa terjadi demikian ? sudah pasti wujud penyelewengan di dalamnya.

Keluarga berlaku penyelewengan menyebabkan ianya tidak lagi seronok seperti sepatutnya, agama sebagai panduan di dalam kehidupan dilaksanakan dengan tidak betul sehingga tidak lagi menampakkan ianya menyeronokkan manusia.

Sungguh kelam sekali dunia ini, mujurlah di dalam kegelapan dan kehitaman malam itu terdapat cahaya dan sinar yang memancar cerah. Mereka keluar daripada rumah-rumah yang mulia, berjalan dengan membawa cahaya dan sinar gembira, terpapar senyuman manis dan mesra di bibir-bibir mekar mereka.

Itulah wanita pesona.

Tidakkah anda ingin menjadi salah seorang daripada mereka ?

http://ustaz.blogspot.com/2008/09/pesona-wanita-muslimah.html

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Sirap sedap terbongkar!

Rumahku wangi..syurgaku..