my academic side


MODAL INSAN BERKUALITI : MINDA KELAS PERTAMA
oleh:
Rosfazila Binti Abd.Rahman, Akademi Islam, KUIS.
Abdul Razif Bin Zaini, Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi, KUIS.

Kajian ini telah dibentangkan di;
SEMINAR PENGURUSAN SUMBER INSAN DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM
PERINGKAT KEBANGSAAN 2010
Ke arah Integrasi Pengurusan Sumber Insan
24 Jun 2010, KUIS.


Abstrak:
Modal insan berkualiti adalah satu keperluan dan bukan lagi kemewahan dalam kontek global dan lokal. Pembangunan modal insan dan anjakan minda dan pemikiran adalah cabaran utama setiap warga. Justeru, pembentukan minda kelas pertama adalah agenda penting negara ke arah sebuah negara yang maju material dan bukan material. Kajian adalah tinjauan awal berkaitan konsep minda kelas pertama. Kriteria dan piawaian umum konsep dinyatakan. Tinjauan awal berbentuk soal selidik diolah berdasarkan konsep dan kriteria piawaian. Tinjauan dibuat dalam mengenalpasti dan menentukan kategori “kelas minda” 40 responden yang dipilih rawak.


PENDAHULUAN
Agenda pembangunan holistik Malaysia ialah memacu Misi Nasional ke arah mencapai Wawasan 2020 dan menjadi sebuah negara Maju. Kemajuan serta pembangunan holistik merupakan kesinambungan perancangan membentuk sebuah negara yang maju ekonominya, seimbang pembangunan sosialnya, memiliki warga yang bersatu padu, berbudaya, berpekerti mulia, berkemahiran, berfikiran maju dan berpandangan jauh. Modal insan berkualiti yang mempunyai minda kelas pertama adalah aset utama ke arah kecapaian matlamat ini.

MODAL INSAN BERKUALITI : MINDA KELAS PERTAMA

Sesungguhnya kami mengutus kamu (Muhammad) dengan membawa kebenaran sebagai pembawa berita gembira dan sebagai pemberi peringatan ( Faathir:24)


Konsep kualiti didifinisikan sebagai keadaan sesuatu benda; buruk baik sesuatu; Mutu (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1989). Konsep modal insan telah ditekankan oleh mantan Perdana Menteri Dato Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi di dalam visi kecapaian Rancangan Malaysia Ke Sembilan 2006-2010. Konsep ini digarap bersama konsep kejayaan yang cemerlang (towering personality) yang berhekendakkan warga Malaysia mencapai kemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan di dalam segenap aspek yang mencakupi fizikal dan spiritual ke arah mendepani cabaran semasa dan global. Visi dan misi ini memberi cabaran perlaksanaan dan keberkesanan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak turut memberikan penekanan kepada konsep modal insan dengan slogan 1 Malaysia : Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Konsep ini menstruktur semula perpaduan rakyat dan masyarakat Malaysia (perpaduan nasional) serta meningkatkan nilai dalam kesejahteraan kehidupan rakyat. Ia meletakkan kepentingan rakyat di hadapan dan mencapai sasaran dan impak yang cemerlang yang berbalik faedahnya kepada rakyat seluruhnya. Konsep modal insan berkualiti ini acapkali diperbincangkan di dalam pelbagai konteks dan bidang. Acapkali juga dikaitkan kehadiran konsep modal insan ini dalam mebentuk warga melalui acuan Malaysia . Konsep acuan Malaysia merujuk kepada dasar induk program pembangunan insan, masyarakat dan negara secara bersepadu yang memenuhi sepenuhnya perundangan, perlembagaan, sejarah, budaya dan tamadun bangsa berteraskan nilai,moral dan akhlak yang berpaksikan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah teras wawasan pembangunan negara ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat (Tajul Ariffin & Nor”Aini 2002).

Modal insan, juga disebut sumber manusia dan kualiti manusia adalah terma relatif namun walaupun sistem budaya dan falsafah kehidupan sesebuah masyarakat berbeza namun pola asas konsep ini adalah sama. Disepakati bahawa penampilan inteletual dengan memberi penekanan kepada kemampuan-kemampuan kepada aras kemahiran tertentu secara berkesan adalah antara ciri-ciri minda kelas pertama yang diyakini dapat memaksimakan kualiti seseorang individu dalam kehidupannya dan masyarakat.

Tajul Ariffin dan Nor”Aini (2006) mencadangkan model Sinergi bersepadu dalam usaha membangunkan kendiri dan insan di mana model ini merujuk kepada kesepaduan di antara komponen-komponen pembinaan peribadi mulia (asas dan teras) dengan komponen-komponen misi universal.

Minda diklasifikasikan sebagai intelek. Pengisian intelek sering diasimilasikan dengan penamabahan pengetahuan, namun menurut John Henry Newman (1081-1890) dalam wacananya tentang pembangunan intelek menekankan bahawa pertumbuhan intelek tidak hanya bergantung kepada penambahan pengetahuan semata-mata tetapi kepada pengolahan pengetahuan itu oleh upaya rohani.

It is not the mere edition to our knowledge that is the illumination, but the locomotive, the movement onwards, of that mental center, to which both what we know, and what we are learning, the accumulating mass of our acquirements, gravitates (Newman, 1976).

Newman menekankan aspek enlargement atau pengluasan yang bersendi pada perbandingan fikiran (idea) akibat dari penambahan pengetahuan. Dengan cara ini, iaitu pengluasan dan perbandingan, kemajuan intelek akan tercapai ( Syed Hussein Alatas, 2006).
Minda dan intelek yang progresif akan menjadi kesinambungan kepada perkara-perkara berikut;

i) Untuk memperoleh pengetahuan yang diperlukan untuk hidup dalam sistem sosial dan budaya.
ii) Untuk memahami tentang kehidupan manusia dan bukan manusia serta fenomena lain yang ada di muka bumi ini.
iii) Untuk memastikan pembangunan personaliti dari segi rohani, moral, psikologi, intelek serta fizikal.
iv) Untuk mewujudkan kesedaran sivik dan perpaduan sosial dan
v) Mencapai kehidupan yang baik ( Syed Hussein Alatas, 2006).

Masyarakat berminda kelas pertama adalah masyarakat yang berpengetahuan, mampu berdaya saing, berbudaya kerja cemerlang, berintegriti dan memiliki kekuatan moral. Masyarakat tersebut juga tahu menghayati dan menghargai budaya, kesenian dan warisan serta sejarah negara, bangsa dan agamanya. Identiti nasionalnya kekal terserlah melalui pembinaan jati diri yang kukuh dan tidak mudah dihanyutkan oleh arus globalisasi. Prinsip-prinsip kepercayaan kepada Tuhan dan Kesetiaan kepada Raja dan negara senantiasa dijunjung ( YAB Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi 31 Mac 2006) .

Dan yang ada pada sisi Allah lebih baik dan lebih kekal bagi orang-orang yang beriman dan hanya kepada tuhan mereka, mereka bertawakkal dan (bagi) orang-orang yang menjauhkan dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji dan apabila mereka marah mereka memberi maaf dan (bagi) orang-orang yang beriman (mematuhi) seruan Tuhanya dan mendirikan solat sedang urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang kami berikan kepada mereka ( As Syura : 36-38).

Objektif kajian

Objektif-objektif kajian ialah;

1. Mengenalpasti konsep modal insan berkualiti dan relevensinya dengan pembentukan bangsa gemilang.
2. Mengenal pasti konsep minda kelas pertama, kriteria dan piawaian umum yang terlibat.
3. Mengenalpasti dan menentukan kategori kelas minda 40 responden terpilih.

Metode kajian

Kajian mengadaptasi kaedah kuantitatif di mana 40 set soal selidik diedarkan kepada 40 responden secara rawak. Soalan soal selidik merangkumi tiga bahagian utama; Demografi, persepsi yang mencakupi skop persepsi terhadap tajuk secara umum, kriteria minda kelas pertama yang dimiliki oleh responden dan aplikasi asas dan yang terakhir adalah bahagian cadangan. Dapatan dianalisis menggunakan kaedah peratusan mudah di mana respon majoriti diambil kira dalam mengenalpasti respon responden kaiian terhadap tajuk.

Dapatan dan Analisis kajian

Semua responden adalah dalam golongan profesional. Tahap pendapatan kurang 5000 sebulan dan mempunyai tahap pendidikan minimum Sarjana Muda. 5 responden berumur antara 30-31 tahun, 20 responden berumur antara 32-35 tahun manakla 15 responden lagi berumur lebih 35 tahun. Majoriti responden dalam kalangan 32-35 tahun.
Persepsi terhadap konsep modal insan dan minda kelas pertama Dapatan menunjukkan majoriti responden memahami konsep modal insan dan minda kelas pertama manakala sebahagian lagi tidak pasti dengan konsep ini yang dianggap ideal.


Kriteria minda kelas pertama yang dimiliki;

Keinsanan, keilmuan, proaktif, berakhlak dan tidak mementingkan diri sendiri Majoriti meletakkan diri masing-masing pada tahap sederhana pada akumulasi kriteria-kriteria dinyatakan.

Aplikasi kriteria minda kelas pertama

Aplikasi kriteria minda kelas pertama dalam kalangan responden dinyatakan pada tahap sederhana namun sebahagian responden tidak pasti dengan tahap aplikasi kriteria tersebut dalam kehidupan mereka.

Cadangan

Majoriti responden berpendapat bahawa setiap individu berkewajipan untuk meningkatkan kelas minda kendiri masing-masing dan pihak seperti keluarga, kerajaan dan masyarakat perlu lebih banyak membantu dengan mewujudkan suasana yang lebih kondusif dalam membentuk kualiti minda yang baik.

Analisis kajian Kajian mendapati bahawa responden yang mempunyai latar demografi, ekonomi dan sosial yang baik mempunyai tahap pemahaman yang baik terhadap konsep kajian. Namun tahap akumulasi dan aplikasi kriteria minda kelas pertama adalah pada tahap sederhana. Responden juga meletakkan tanggungjawab kendiri dalam membentuk insan minda kelas pertama di samping keluarga, masyarakat dan kerajaan turut perlu memainkan peranan. Tidak dinafikan bahawa masyarakat secara umum sedang mengalami ketandusan nilai berikutan suasana global dunia. Justeru, kriteria dan piawaian konsep kajian perlu dibentuk, diasah dan diaplikasikan oleh setiap warga dalam setiap konteks kehidupan.

KESIMPULAN

Pembangunan minda kelas pertama memerlukan persekitaran mesra ilmu, prointelektual dan berasaskan pencapaian. Minda kelas pertama tidak terbentuk dalam persekitaran tidak kondusif. Minda kelas pertama tidak bercambah jika ukuran ilmu hanya berasaskan kepada akreditasi semata-mata. Dalam persekitaran yang merangsang pembangunan minda kelas pertama, ukuran ilmu dan pencapaian ialah kegigihan, iltizam, sumbangan konkrit dan gaya hidup berasaskan kepentingan nilai ilmu. Pembaikan, inovasi, penyelididkan dan reka cipta amat perlu. Inisiatif seperti melahirkan institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa yang dirangka dalam perspektif minda kelas pertama dan mencapau kualiti menjurus kepada proses dan budaya pemantapan ilmu dalam komuniti akademia adalah harapan kepada warga masa depan (Zaini Ujang 2006). Minda lestari sebagai strategi mencapai piawaian minda kelas pertama memerlukan kefahaman, aplikasi dan komitmen seluruh warga yang mencakupi semua spek pemikiran, mindset. Keilmuan dan cara hidup secara holistik, justeru kecemerlangan dapat dijana untuk kebaikan bersama.

Senarai rujukan

Al-Qur’an, 1980, Pimpinan Tafsir Ar-rahman.KL,JPM.
Abdul Razaq Ahamd, (2006), Mahasiswa dan Pembudayaan Ilmu, UKM dan Yayasan Istana Abdul Aziz Pahang.
Dewan Bahasa dan Pustakan ( 1989 ), Kamus Pelajar Bahasa Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka, Selangor.
J. H. Newman, (1976) The Idea of a University. Oxford University Press, London.
Naisbitt, J. 1995. Megatrends Asia. London. Nicholas Brealey Pubs.
Naisbitt,J. 1990. Megatrends 2000: Ten New Directions For the 1990’s. New York, Avon Books.
Naisbitt,J. 1999. High-Tech, High Touch: Technoloy and our search for meaning, Ne York, Boradway Books.
Naisbitt,J. 2002. A New Paradigm of Leadership (Ed). Terjemahan, Jakarta, Arena Ilmu.
Syad Hussein Alatas, (2006) Mahasiswa Abad 21, UKM dan Yayasan Istana Abdul Aziz Pahang.
YAB Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi, (2006) Pembentangan RMK9 2006-2010.
Zaini Ujang, Minda Lestari : Strategi capai piawaian minda kelas pertama, http://web.utm.my/ipasa-institut of environment & water resource management. 28 Januari 2008.

Comments

  1. salam i like this concept..keep up the good job.

    ReplyDelete
  2. hasrat utama ialah untuk berkongsi dan mungkin disebarluaskan manfaat yang berwajar.mengharapkan etika ilmiah untuk penggunaannya:)

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Rahsia Sirap sedap terbongkar!

Rumahku wangi..syurgaku..