Fried banana bullet with anchovies






Indahnya satu memori.Tergelak di hati kecil mengenangkan kata-kata seorang sahabat “kalau nak Nampak standard, letak je dalam bahasa omputih, bunyi tentu best” kata sahabat saya sambil menjamah cekodok pisang yang dipanggilnya banana nugget!gelihati juga mengenangkan saat-saat manis di kampus dulu kala. Bila difikirkan betul juga gurauan sahabat saya tu. Bayangkan air kosong yang mungkin tidaklah selazat sirap umpamanya bila di sebut sky juice macam sedap bukan?tapi apa ada pada nama, Bahasa Jiwa Bangsa!


Resepi di atas sekadar gimik dan berupa satu imbasan nostalgia sekelumit perjalanan hidup saya yang lalu. Resepi ini juga adalah warisan bonda, maklumlah, orang kampung, kaya dengan tanaman kontan di sekeliling rumah. Pastinya menjadi kegemaran kami sekeluarga. Bila ada keluarga dan rumah sendiri, suami menanam pisang pada tanah sekangkang kera di belakang rumah (terima kasih kepada YBhg Ustaz Sapie yang bersusah payah memberikan kami benih pisang yang dibawa dengan kereta kancil putih kesayangannya). Nah, pisang yang mudah hidup di kawasan khatulistiwa ini sudah mula berbuah. Bila sisir-sisir pisang telah jelas kelihatan dan seakan jantung pisang itu bersendirian dan terpisah dari tandannya, bolehlah jantung dipetik buat masakan!biarkan buah pisang melalui prosesnya tersendiri di pokok.


Etnik India sangat sinonim dengan tanaman ini yang melambangkan kesuburan dan kemewahan. Etnik Melayu terutamanya menjadikan tanaman pisang dengan seribu macam kegunaan, masakan terutamanya. Batang, daun, umbut, pelepah, jantung dan semestinya buah berguna dalam pelbagai hal dan masakan.setahu saya batang pisang dahulu digunakan untuk menjadi antara alat pemandian jenazah! Sudah semestinya juga dijadikan santapan haiwan ternakan seperti kerbau dan lembu setelah dicincang, daun pisang dijadikan pembungkus kuih muih, nasi lemak, umbut pisang lazat dibuat gulai!pelepahnya dahulu bonda gemar menjadikan kapal terbang buat mainan kami semasa kanak-kanak. Buah pisang almaklum, banyak khasiat dan dimakan dengan pelbagai cara.

Saya agak mungkin ramai yang tidak pasti tentang penggunaan jantung pisang selain dijadikan ulam selepas direbus dan enak dicicah dengan sambal belacan berteman ikan bakar bukan? Ini resepi bonda saya sisipkan bagi yang ingin mencuba. Kata sang suami yang tidak pernah merasai masakan ini, rasa jantung pisang yang digoreng dengan bilis ini seperti rasa sotong!sedaplah tu….

Jantung pisang goreng dengan ikan bilis

Bahan-bahan

Sebiji jantung pisang bersaiz sederhana
2 labu bawang merah
2 labu bawang putih
1 labu bawang besar
2 biji cili merah
Segenggam ikan bilis
2 sudu minyak masak
1 sudu sos tiram
Secubit garam dan kunyit

Cara memasak

Bersihkan jantung pisang, di belah 4 dan dihiris halus melintang (seperti anda memotong sayuran)
Basuh dan toskan
Bawang dimayang
Cili dihiris
Ikan bilis seeloknya ditumbuk separa lumat

Panaskan kuali/periuk
Masukkan minyak
Tumis bawang dan cili
Masukkan sos tiram kacau mesra
Masukkan jantung pisang yang telah ditoskan
Secubit garam dan kunyit untuk efek warna yang lebih menarik
Gaul mesra dan angkat serta bolehlah dihidangkan

Selamat mencuba puan-puan!

Comments

Popular posts from this blog

Rahsia Sirap sedap terbongkar!

Rumahku wangi..syurgaku..